Nadma adakan latihan, simulasi hadapi gempa bumi di Segamat
- Admin UKK
- Berita
SEGAMAT – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan mengadakan latihan dan simulasi melibatkan penduduk di kawasan berisiko bagi menghadapi bencana gempa bumi.
Ketua Pengarah Nadma, Datuk Abdul Halim Hamzah berkata, latihan dan simulasi itu akan dilaksana melibatkan agensi kerajaan seperti bomba, polis dan komuniti setempat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Inisiatif ini bukan perkara yang luar biasa kerana telah dilaksanakan di Sabah pada tahun lepas dengan komuniti setempat.
“Nadma telah mengatur beberapa siri latihan dan simulasi. Bagaimanapun gegaran gempa bumi di Segamat berlaku di luar jangka.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Program Pengurusan Risiko Bencana Gempa Bumi Bersama Pemimpin Komuniti Daerah Segamat Tahun 2025 di Dewan Serbaguna Jalan Genuang, di sini, hari ini.
Abdul Halim berkata, latihan simulasi itu akan memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat terlibat secara langsung dalam persediaan menghadapi bencana alam tersebut.
Jelasnya, kaedah simulasi itu bukan sekadar latihan di bilik mesyuarat tetapi melibatkan pelbagai senario seperti banjir, gempa bumi dan tanah runtuh supaya komuniti tahu tindakan yang perlu diambil sekiranya insiden benar-benar berlaku.
Beliau turut berkongsi kejayaan program serupa yang pernah dijalankan di Sabah pada tahun lalu, apabila komuniti setempat didapati lebih bersedia apabila berdepan insiden sebenar hanya beberapa hari selepas latihan simulasi dilaksanakan.
Justeru, apa yang berlaku di Segamat menjadi isyarat bahawa kerajaan perlu mengambil tindakan balas yang progresif dan berterusan untuk memastikan rakyat benar-benar bersedia.
Pelaksanaan program itu ujarnya, juga sejajar dengan Bulan Kesiapsiagaan Nasional yang diraikan setiap Oktober, yang selama ini lebih menumpukan aspek persediaan menghadapi banjir. – MalaysiaGazette