Pakistan bersedia hadapi hujan lebat, angka korban meningkat kepada 749
- Admin UKK
- Berita
ISLAMABAD: Pakistan dijangka menerima lebih banyak hujan lebat dalam beberapa hari akan datang dan pihak berkuasa memberi amaran tentang kemungkinan banjir di kawasan bandar, ketika negara itu sedang bergelut dengan kesan hujan monsun sebelum ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Hujan lebat di wilayah barat laut Khyber Pakhtunkhwa telah menyebabkan kematian dan kemusnahan yang meluas. Setakat ini, terdapat tujuh fasa hujan monsun pada musim ini.
Fasa kelapan dijangka bermula pada 23 Ogos dan boleh menjejaskan hampir seluruh negara, terutamanya wilayah selatan Sindh.
Menurut NDMA, jumlah korban akibat insiden berkaitan hujan sejak 26 Jun, telah meningkat kepada 749 orang dengan tambahan 42 kematian dalam tempoh 24 jam lalu.
Majoriti kematian, iaitu 446, dilaporkan di Khyber Pakhtunkhwa dengan pasukan penyelamat sedang mencari lebih 150 orang yang hilang pada hujung minggu lalu.
Terdahulu pada hari yang sama, Perdana Menteri Shehbaz Sharif melawat kawasan yang dilanda banjir dan meninjau operasi bantuan.
“Semua sumber negara yang ada akan digerakkan untuk mempercepat usaha pemulihan dan mengembalikan keadaan seperti biasa di kawasan terjejas,“ kata Sharif, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh pejabatnya- BERNAMA-dpa