Pesawat terhempas, 9 maut, hanya simulasi – Parum
- Admin UKK
- Berita
LIMBANG, 20 Ogos: Sebuah pesawat mengalami kemalangan di landasan Lapangan Terbang Limbang hari ini menyebabkan sembilan maut, 26 lagi penumpang cedera parah.
Insiden kemalangan itu menimbulkan suasana panik, apabila agensi kerajaan dan pihak hospital cuba membantu merawat dan menghantar mangsa yang cedera parah ke hospital.
Terdapat ahli keluarga mangsa yang terlibat tidak dapat menahan kesedihan dan cuba merempuh lapangan terbang untuk mendapatkan perkembangan terkini penumpang yang cedera.
Bagaimanapun keadaan tersebut merupakan ‘insiden’ simulasi dan latihan amal kesiapsiagaan menghadapi sebarang bencana.
Ketua Polis Daerah Limbang Superintenden Parum Niot berkata, detik kemalangan ini cuma latihan yang lazim diadakan melibatkan petugas daripada agensi kerajaan yang terlibat.
Parum berkata, latihan itu dilaksanakan bagi menguji Pelan Tindakan Kecemasan Airpot Limbang dan penyelarasan tugas setiap agensi untuk persediaan dalam menghadapi sebarang kemungkinan.
“Latihan amal ini bertujuan menguji keberkesanan pelan tindakan kecemasan, menguji koordinasi setiap agensi dan bantuan terlibat dan menguji keberkesanan komunikasi pusat kawalan kecemasan ketika berdepan situasi sebenar,” katanya pada Simulasi dan Latihan Amal Kemalangan Kapal Terbang di Lapangan Terbang Limbang hari ini.
Turut sama ialah Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Limbang, Tawang Lingem dan Pengurus Lapangan Terbang Limbang, Shaziana Mohd Sahrill. -TVS.