OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kebocoran di tapak pelupusan, sisa ternakan punca pencemaran Sungai Air Batu

Kebocoran di tapak pelupusan, sisa ternakan punca pencemaran Sungai Air Batu

MELAKA: Kebocoran pada loji rawatan larut resap di tapak pelupusan sampah Sungai Udang dan sisa ternakan antara punca pencemaran Sungai Air Batu baru-baru ini, kata Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin.

Beliau berkata dapatan itu hasil siasatan agensi kerajaan negeri dan Persekutuan selepas menerima aduan penduduk.

Sebagai langkah awal bagi mengelak kejadian serupa berulang, Rais berkata kerajaan negeri menambah sel baharu di tapak pelupusan itu yang dijangka beroperasi pada Februari tahun depan.
 
"Tapak pelupusan sampah itu buat masa ini beroperasi melebihi kapasiti apabila menerima kira-kira 800 meter padu sampah setiap hari berbanding kapasiti asal sebanyak 300 meter padu setiap hari.
 
"Sel baharu itu dijangka dapat menampung jumlah sampah sekali gus dapat mengurangkan risiko berlaku pencemaran di sungai berdekatan," katanya.
 
Rais berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek perintis Tabika Kemas Istimewa @ Kemas Hang Jebat yang turut dihadiri Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Rubiah Wang di Krubong, di sini hari ini.
 
Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri juga mengadakan perbincangan dengan penternak lembu di lembangan sungai berkenaan untuk menambah kolam takungan bagi mencegah sisa daripada kandang mengalir ke sungai.
 
Pembinaan projek loji Waste-To-Energy (WTE) di Sungai Udang bernilai RM660 juta yang dijangka siap selewat-lewatnya 2029 menurut beliau juga diharap dapat menyelesaikan masalah pencemaran sungai dan bau di kawasan itu.
 
Sebelum ini, Bahagian Komunikasi Korporat, Jabatan Ketua Menteri Melaka memaklumkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Melaka diarah menjalankan siasatan selepas berlaku perubahan ketara pada warna air sungai itu.
 
-- BERNAMA
 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search