Pulihara kesan tsunami dengan bakau
- Admin UKK
- Berita
YAN – Bencana tsunami pada tahun 2004 turut memberi kesan terhadap kemusnahan hutan paya bakau di Kedah yang berperanan sebagai benteng semula jadi, habitat hidupan laut dan sumber ekonomi masyarakat setempat.
Penolong Pengarah Sivikultur dan Pemelihara Hutan Jabatan Perhutanan Kedah, Mohd Rajihan Rahim berkata, beberapa langkah pemuliharaan paya bakau telah dilaksanakan sehingga kini, terutama di pesisiran Sungai Merbok di Daerah Kuala Muda dan Sungai Limau di Yan, yang berfungsi sebagai penampan ombak serta mengurangkan hakisan pantai.
“Sekeliling pokok api-api, kita perlu bangunkan pokok bakau kerana kelebihannya akan lebih membantu mencapai objektif kita, selain meningkatkan kesedaran awam.
“Kedua, ia untuk perlindungan. Kalau kita lihat, ketika berlaku tsunami di negara kita, antara projek yang dilancarkan oleh kerajaan untuk perlindungan adalah penanaman pokok bakau. Ia turut menyumbang kepada kegiatan sosial dan ekonomi masyarakat setempat... kawasan ini akan menjadi habitat kepada ketam, udang dan ikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengetuai aktiviti penanaman bakau sempena program Jalinan Mesra Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bersama Kelab Media Elit Kedah (KMEK) di Sungai Limau, baru-baru ini.
Sementara itu, Pengarah Perkeso Kedah, Rak Boon Tan Rat berkata, inisiatif penanaman pokok bakau boleh dijadikan contoh oleh jabatan kerajaan dan organisasi lain dalam usaha memelihara ekosistem dan kelestarian alam sekitar.
“Kita harapkan dengan penanaman pokok ini, ia mampu mengimbangi ekosistem alam sekitar dan seterusnya mengurangkan risiko bencana.
“Ini sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami... tahun ini kami memilih penanaman pokok bakau sebagai kelainan dan mengajak rakan media turut serta,” jelasnya.
Presiden KMEK, M Hifzudin Ikhsan pula berkata, inisiatif tersebut memberi peluang kepada ahli untuk turut sama turun padang melaksanakan tanggungjawab dalam usaha memelihara dan mengekalkan hutan paya bakau negara yang terbukti mampu mengurangkan impak bencana alam.