Letupan paip gas: Penduduk Putra Heights gesa siasatan disemak semula
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kebajikan Penduduk Kampung Kuala Sungai Baru (KKSB) menggesa kerajaan menyemak semula keputusan laporan bencana letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya, selain melantik badan penyiasat bebas bagi memastikan siasatan dijalankan secara telus.
Setiausaha KKSB, Mohd Badly Nordin, berkata keputusan untuk tidak mengambil tindakan lanjut (NFA) menimbulkan persoalan terhadap ketelusan siasatan dan seolah-olah menafikan hak mangsa untuk mendapat keadilan.
“Mangsa yang cedera, mengalami kerugian harta benda dan trauma seumur hidup berhak mengetahui punca sebenar tragedi serta pihak yang bertanggungjawab,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sebelum ini, insiden letupan saluran gas berlaku di Putra Heights diklasifikasikan sebagai NFA oleh Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, selepas siasatan tidak menemui unsur kecuaian atau sabotaj.
Bagaimanapun, beliau dilaporkan berkata siasatan akan diteruskan jika terdapat bukti atau keterangan baharu.
Mohd Badly menegaskan, KKSB akan terus memperjuangkan hak penduduk termasuk mendesak penubuhan Suruhanjaya Siasatan Bebas serta pendedahan hasil siasatan teknikal dan forensik secara penuh.