OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Petronas Gas berdepan impak kewangan RM60 juta insiden Putra Heights

Petronas Gas berdepan impak kewangan RM60 juta insiden Putra Heights

KUALA LUMPUR: Petronas Gas Bhd dijangka berdepan dengan impak kewangan sebanyak RM60 juta bagi tahun kewangan 2025, disumbangkan terutamanya oleh insiden kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.

Penganalisis CIMB Securities, Foong Choong Chen, berkata pada akhir Mei 2025, Petronas Gas menganggarkan kos kerja-kerja pembaikan dan pemulihan aset berjumlah kira-kira RM170 juta.

Beliau berkata, sebahagian besar jumlah itu dijangka diperuntukkan sebagai perbelanjaan modal, dengan sebahagiannya dijangka diperoleh semula melalui tuntutan insurans sekitar RM50 juta.

Menurutnya, kerugian pendapatan akibat gangguan perkhidmatan pula diunjurkan minimum, iaitu sekitar RM20 juta berdasarkan hasil kerjasama rapat dengan pihak berkuasa kawal selia, pengangkut gas dan pengedar yang membolehkan pemulihan segera perkhidmatan saluran paip dan penstabilan bekalan.

"Secara keseluruhan, Petronas Gas menganggarkan kesan pendapatan berjumlah RM60 juta bagi tahun kewangan 2025, yang sebahagian besarnya akan diiktiraf dalam keputusan suku kedua dan ketiga 2025.

"Anggaran Petronas Gas ini tidak mengambil kira kemungkinan penalti kawal selia daripada Suruhanjaya Tenaga atau liabiliti kepada pihak ketiga.

"Walaupun risiko ini masih belum dapat diketepikan sepenuhnya, kemungkinannya mungkin lebih rendah memandangkan siasatan telah mengaitkan insiden tersebut terutamanya kepada keadaan tanah yang tidak stabil," katanya dalam satu nota penyelidikan .

Choong Chen berkata, insiden kebakaran Putra Heights berpunca daripada kegagalan saluran paip akibat keadaan tanah yang tidak stabil.

Beliau berkata, siasatan teknikal oleh Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) menyimpulkan bahawa keadaan tanah yang tidak stabil di bawah saluran paip milik Petronas Gas menyebabkan kegagalan fizikal pada paip tersebut, yang akhirnya mengakibatkan kebocoran gas dan mencetuskan insiden kebakaran di Putra Heights pada 1 April 2025.

Katanya, KKP turut menjelaskan bahawa saluran paip tersebut memenuhi spesifikasi teknikal dan bahawa kegagalan itu bukan berpunca daripada aktiviti di permukaan tanah.

Menurutnya siasatan polis juga mendapati tiada unsur jenayah dikaitkan dengan insiden tersebut, malah kenyataan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari turut menjelaskan pasukan teknikal mendapati saluran paip itu terkesan akibat mendapan tanah sebanyak 24.3 sentimeter (cm) sepanjang tempoh 25 tahun lalu, yang membawa kepada peralihan saluran paip sejauh 15.9 cm.

"Keadaan ini dikaitkan dengan beberapa faktor alam sekitar termasuk tanah yang tidak stabil, takungan air bawah tanah yang berpanjangan, sistem perparitan dan saluran monsun yang terjejas, tekanan berkaitan iklim serta pembangunan bandar yang padat," katanya.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search