OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Kebakaran Putra Heights: Pas Selangor cadang tubuh jawatankuasa bebas, siasat lebih menyeluruh

Kebakaran Putra Heights: Pas Selangor cadang tubuh jawatankuasa bebas, siasat lebih menyeluruh

SHAH ALAM – Pas Selangor mencadangkan agar satu Jawatankuasa Siasatan Diraja yang bebas ditubuhkan bagi menjalankan siasatan lebih menyeluruh berhubung punca insiden letupan paip gas di Putra Heights pada 1 April lalu.

Pesuruhjayanya, Datuk Dr Ab Halim Tamuri berkata, cadangan itu dibuat susulan dapatan laporan akhir insiden terbabit yang dibentangkan baru-baru ini dilihat tidak menyeluruh dan hanya bergantung kepada jawatankuasa siasatan dalaman.

Menurutnya, laporan tersebut juga dilihat kurang holistik kerana hanya memberi tumpuan kepada punca langsung dan tidak meneliti punca sebenar serta paling asas.

“Dapatan sedemikian menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan, selain keresahan dan ketidakpuasan hati yang jelas terserlah daripada keluhan serta kritikan rakyat sejurus laporan tersebut diumumkan.

 

“Pas Selangor kecewa dengan dapatan laporan yang dilihat kurang holistik. Kami menuntut kerajaan Selangor bersikap telus sepenuhnya dan tidak hanya bergantung kepada jawatankuasa penyiasat dalaman sahaja.

“Kami amat kesal dengan kegagalan kerajaan negeri dalam memulihkan keyakinan rakyat terhadap keselamatan awam dan kebertanggungjawaban pihak berkuasa,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Sebelum ini dilaporkan, kebocoran dan kebakaran paip gas di Putra Heights berpunca daripada keadaan tanah lembut dan lembap di bawah laluan paip bertekanan tinggi yang gagal menyokong struktur paip tersebut.

Pengarah Bahagian Keselamatan Petroleum, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Husdin Che Amat, berkata siasatan menyeluruh selama hampir tiga bulan mendapati kegagalan struktur berlaku apabila tanah tidak dapat menyokong sepenuhnya paip tersebut.

Mengulas lanjut, Ab Halim berkata, pihaknya memandang serius kebimbangan terhadap kemungkinan kejadian seumpama itu berulang sekiranya tiada langkah pencegahan tuntas diambil.

“Pas Selangor akan terus memperjuangkan hak rakyat untuk mengetahui kebenaran serta menuntut keadilan bagi semua yang terkesan,” ujarnya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search