Letupan paip gas Putra Heights: Takkan nak salahkan tanah? – Peguam
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR – Hasil siasatan tragedi letupan saluran paip gas di Putra Heights yang menyimpulkan seoalah-olah tidak ada unsur jenayah, sabotaj dan kecuaian menimbulkan lebih banyak persoalan daripada jawapan.
Apatah lagi, menurut peguam, Yusfarizal Yussof, rakyat sebelum ini didedahkan dengan fakta yang mana saluran paip gas boleh bertahan sehingga 50 tahun, penyelenggaraan rutin sentiasa dilakukan dan sebagainya.
Malah beliau turut membangkitkan beberapa perkara yang perlu dirungkai yang menimbulkan persoalan daripada laporan yang merumuskan tiada kecuaian dalam tragedi tersebut.
“Apakah pengumpulan air bawah tanah dalam tempoh masa yang panjang tersebut tidak akan dapat dikesan sewaktu penyelenggaraan rutin? Tiadakah SOP untuk mengesan ekosistem sekitar paip selepas beberapa puluh tahun?
“Kepadatan penduduk itu disebabkan apa? Bukankah ia faktor perancangan bandar? Tidakkah pembangunan sekitar kawasan perpaipan berisiko tinggi perlu perancangan khusus untuk mengelak kepadatan?” katanya menerusi laman sosial Facebook malam tadi.
Sementara itu, Yusfatizal yang juga Pengarah Lajnah Undang-undang dan Hak Asasi Manusia (LUHAM) Pas Selangor berkata, meskipun laporan berhubung tragedi tersebut boleh diterima, namun bukan tindakan yang bijak untuk diterima dengan hati terbuka begitu sahaja.
Sebaliknya, tegas beliau, perlu ada pengesahan pihak ketiga mengenai laporan itu selain kerajaan juga perlu mendedahkan laporan penuh siasatan tragedi tersebut.
“Kalau benar ia act of God maka apakah kita hanya tunggu dan lihat? Dan merangka dasar dan undang-undang baru yang entah bila dapat dilaksana.
“Esok lusa ia mungkin boleh terjadi lagi dan takkanlah kita masih menyalahkan tanah?” soalnya.
Dalam masa sama, beliau turut menggesa kerajaan menjelaskan dengan terperinci pelan tindakan segera untuk membuat kajian, ujian dan pemantauan ke atas struktur perpaipan gas di seluruh negara.
“Bagi saya, ia jauh daripada selesai,” tambahnya.
Semalam, polis mengesahkan tiada sebarang unsur khianat dikesan dalam siasatan insiden letupan gas yang menggemparkan penduduk Putra Heights, Subang Jaya pada 1 April lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, hasil siasatan mendapati tiada bukti menunjukkan kejadian disebabkan perbuatan sabotaj atau kelalaian jenayah oleh mana-mana pihak. – MalaysiaGazette