Beberapa daerah di Kedah dilanda hujan lebat, ribut
- Admin UKK
- Berita
ALOR SETAR: Hujan lebat serta ribut dilaporkan membadai beberapa daerah di Kedah, malam ini, sehingga menyebabkan banyak pokok tumbang.
Ramai pengguna di laman sosial turut berkongsi kejadian itu, yang menyaksikan angin kencang melanda di daerah Kota Setar, Kubang Pasu, Pokok Sena, Baling, Sik dan Yan.
Penduduk Tanjung Kapur di Jitra, Sofiah Yaakob, 50, berkata, deruan angin kencang berserta hujan lebat kira-kira jam 8 malam itu agak menakutkan.
Malah, insiden itu mengakibatkan laluan dari kampung berkenaan ke Jitra terhalang oleh pokok tumbang.
“Pasukan penyelamat kemudian dilihat turun ke lokasi untuk membersihkan laluan itu.
“Walaupun hujan sudah berhenti ketika ini, perasaan takut masih ada kerana tidak pernah melihat angin sekuat itu,” katanya ketika dihubungi BH.
Sementara itu penduduk Alor Setar, Shahrizal Hashim, 40, berkata, ribut malam ini sangat kuat sehingga beliau terpaksa menangguhkan perjalanan pulang dari kerja.
Beliau sepatutnya bergerak pulang pada jam 8 malam tetapi terpaksa menunggu hingga jam 9.30 malam, berikutan hujan lebat berserta angin kencang.
“Saya menunggang motosikal dari Jitra ke Alor Setar, jadi risau apabila melihat banyak kejadian ribut dikongsikan dalam media sosial.
“Kerana bimbangkan keselamatan diri, saya mengambil keputusan untuk menunggu dulu di tempat kerja dan terus balik selepas hujan reda,” katanya.
