Kes kematian pertama akibat COVID-19 direkodkan tahun ini, babitkan individu tanpa dos penggalak kedua
- Admin UKK
- Berita
PUTRAJAYA: Satu kes kematian akibat COVID-19 direkodkan pada Minggu Epidemiologi ke-24 (ME24), menjadikannya kes pertama tahun ini.
Menerusi kenyataan, Kementerian Kesihatan (KKM) memaklumkan, kes berkenaan membabitkan individu yang mempunyai komorbiditi serius iaitu penyakit jantung dan diabetes serta tidak menerima dos penggalak kedua.
“Situasi ini membabitkan penurunan ketara berbanding 57 kes kematian COVID-19 pada 2024.
“Kematian terakhir sebelum ini berlaku pada 26 Mei 2024. Ini menunjukkan keberkesanan pelaksanaan langkah kawalan oleh KKM,” maklum kenyataan itu, hari ini.
Dalam kenyataan sama, KKM turut menyatakan berlaku peningkatan sebanyak 68 peratus kes COVID-19, iaitu kepada 3,379 kes pada ME24 berbanding 2,011 kes pada minggu sebelumnya.
Bagaimanapun, KKM menegaskan situasi semasa COVID-19 dalam negara kekal terkawal dan berada di bawah paras amaran kebangsaan, hasil pemantauan berterusan serta intervensi kesihatan awam yang berkesan.
Sehingga ME24, sebanyak 21,738 kes COVID-19 dilaporkan secara kumulatif dengan purata mingguan kekal sekitar 900 kes.
Pada minggu sama, enam kes COVID-19 dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) melibatkan individu berkomorbiditi, iaitu golongan rentan dengan penyakit sedia ada seperti hipertensi, diabetes, dislipidemia, penyakit jantung dan sindrom down.
“Semua kes telah menerima rawatan rapi dengan pemantauan profesional kesihatan dan dibenarkan keluar dari ICU iaitu empat kes dibenarkan pulang ke rumah dan dua lagi dipindahkan ke wad biasa,” maklum kenyataan itu lagi.