NADMA bakal laksana 4 siri Operasi Pembenihan Awan di 4 negeri pada 6 hingga 9 April ini
- Admin UKK
- Berita
Putrajaya: Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menyelaras dan melaksanakan empat siri Operasi Pembenihan Awan (OPA) di Perak, Kedah, Perlis dan Johor pada 6 hingga 9 April ini sebagai langkah proaktif menangani penurunan paras takungan air empangan akibat cuaca panas.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan memandang serius fenomena cuaca panas susulan peralihan monsun yang bermula 29 Mac lalu dan dijangka berterusan sehingga Mei ini.
"Untuk itu, NADMA akan menyelaras dan melaksanakan empat siri OPA di Perak, Kedah, Perlis dan Johor pada 6 hingga 9 April ini.
"Tindakan segera ini adalah sebagai langkah proaktif bagi menangani keadaan kadar takungan air empangan di negeri itu yang semakin menurun akibat cuaca panas," katanya dalam kenyataan hari ini.
OPA akan memberi fokus kepada 11 lokasi empangan iaitu Empangan Timah Tasoh di Perlis; Empangan Ahning, Empangan Pedu dan Empangan Muda di Kedah; Empangan Temenggor dan Empangan Bukit Merah di Perak dan Empangan Lebam, Empangan Upper Layang, Empangan Lower Layang, Empangan Gunung Pulai dan Empangan Machap di Johor.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat berkata, NADMA berkerjasama dengan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bagi menyediakan pesawat C130 Hercules serta pasukan Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) yang menyelaras aspek teknikal serta saintifik pembenihan awan.
"Sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat (JPBP), saya menyeru supaya Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) memastikan Pusat Kawalan Bencana Negeri (SDCC) diaktifkan dan diperkasa.
"Ini bagi memastikan keputusan yang hendak diambil adalah merujuk kepada maklumat teknikal dan berasaskan data (data-driven)," katanya.
Katanya, semua agensi berkaitan perlu menyalurkan maklumat kepada SDCC untuk disusun dan direkodkan secara berpusat termasuk maklumat pemantauan aras empangan, bekalan air mentah, tahap kelembapan tanah di kawasan kritikal, kawasan berisiko tanah runtuh, kawasan banjir serta lain-lain maklumat yang berkaitan.
Pangkalan data berpusat itu membolehkan SDCC membuat analisa tindakan segera yang boleh diambil demi memastikan kelangsungan hidup rakyat sentiasa terpelihara.
"Dalam kita memperkukuh pendekatan teknikal ini, saya ingin menegaskan bahawa tindak balas kerajaan tidak boleh bersifat mekanikal semata-mata.
"Pendekatan kemanusiaan mesti menjadi teras utama. Kita perlu memastikan setiap intervensi benar-benar sampai kepada mereka yang paling terkesan khususnya golongan berpendapatan rendah, warga emas, petani kecil serta komuniti yang bergantung sepenuhnya kepada sumber air tempatan," katanya.
Tegasnya, JPBN perlu bertindak awal dengan mengenalpasti keperluan rakyat, pertanian dan komersial seperti penghantaran bantuan bekalan air kecemasan melalui lori tangki ke kawasan yang mengalami gangguan bekalan air yang kritikal serta permohonan pelaksanaan Operasi Pembenihan Awan (OPA) bagi meningkatkan aras air empangan dengan lebih tepat
"Selain itu, JPBN perlu mengenal pasti kaedah terbaik sebagai strategi jangka sederhana termasuk mengenal pasti kawasan takungan air semasa musim hujan untuk kegunaan ketika cuaca panas.
"Pada masa sama, semua agensi kerajaan perlu mempergiat tindakan bagi memastikan kumpulan sasar masing-masing tidak terjejas, khususnya dalam sektor bekalan makanan, pertanian, kesihatan awam, pendidikan, keusahawanan, penternakan dan lain lain lagi yang dijangka terjejas," katanya.
