OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

20 cerun berisiko tinggi dibaiki segera

20 cerun berisiko tinggi dibaiki segera

PUTRAJAYA: Kementerian Kerja Raya (KKR) mengenal pasti sebanyak 20 cerun sangat berisiko tinggi yang berisiko runtuh dan memerlukan kerja-kerja pembaikan segera membabitkan kos kira-kira RM36 juta.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, sebahagian besar cerun berisiko tinggi itu dikesan berada di sepanjang Lebuh Raya Timur Barat serta beberapa lokasi lain di seluruh negara.

“Kita akan pastikan cerun berisiko tinggi itu tidak akan memberi kesan buruk kepada nyawa dan harta benda (jadi) kita akan selesaikan masalah tersebut,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Simposium Cerun Negara (SCN) 2025 di sini semalam.

Pada majlis itu, Alexander tumelancarkan Pelan Induk Cerun Negara (PICN): Pelan Tindakan 2025-2030 yang menjadi dokumen rujukan utama dalam mengukuhkan tadbir urus serta pelaksanaan pengurusan cerun secara menyeluruh di Malaysia.

Terdahulu menerusi ucapannya, Alexander berkata, pada tahun ini, KKR menerima peruntukan sebanyak RM251 juta di bawah Program Pencegahan dan Pembaikan Cerun Seluruh Malaysia. 

Katanya, setakat ini, sebanyak 166 lokasi pembaikan cerun telah berjaya disiapkan, manakala sejumlah RM21.74 juta telah dibelanjakan untuk menaik taraf sistem amaran awal tanah runtuh, pengumpulan data, pengemaskinian peta risiko cerun serta kerja penyelenggaraan. 

Beliau berkata, dengan adanya PICN, semua pihak secara asasnya memikul tanggungjawab bersama dalam usaha mengurangkan risiko bencana, khususnya tanah runtuh, memperkukuh tadbir urus pengurusan cerun negara secara mampan serta memastikan keselamatan rakyat dan infrastruktur negara terus terpelihara.

“Melalui pelan tindakan ini, pelbagai inisiatif berimpak tinggi telah dirangka secara teliti bagi meningkatkan tahap kesiapsiagaan negara serta memperkukuh tadbir urus risiko bencana, khususnya yang berkaitan dengan kejadian tanah runtuh. 

“Justeru, Pelan Induk Cerun Negara yang telah dihasilkan ini adalah kompas kita dalam menghadapi cabaran risiko cerun. Ia bukan sekadar garis panduan teknikal, tetapi juga manifestasi komitmen kita untuk melindungi aset negara yang bernilai, nyawa setiap wargan dan generasi akan datang,” katanya. 

Katanya, sebagai inisiatif proaktif, JKR telah melaksanakan projek Pembekalan dan Pemasangan Peralatan Pemantauan Masa Nyata bagi Cerun di Jalan Persekutuan dan Pembangunan Sistem Amaran Awal Tanah Runtuh. 

Menurut Alexander, di bawah projek tersebut, pelbagai peralatan pemantauan berteknologi tinggi digunakan.

“Sistem pemantauan cerun berasaskan Internet Kebendaan (IoT) ini membolehkan pengumpulan data secara semasa dan data yang dicerap akan dihantar terus ke pusat kawalan bagi membolehkan tindakan awal diambil sekiranya terdapat tanda-tanda ketidakstabilan cerun.

“Selain itu, penggunaan Kecerdasan Buatan (AI) dan Analisis Data Besar membolehkan kita mengenal pasti pola pergerakan cerun dan meramalkan potensi kegagalan struktur dengan lebih tepat,” katanya.-UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search