OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

13 tahun terendam, penduduk Kampung Belantik rayu selesai isu banjir

13 tahun terendam, penduduk Kampung Belantik rayu selesai isu banjir

JOHOR BAHRU - Penduduk Kampung Belantik di sini menggesa kerajaan agar segera menyelesaikan masalah banjir kilat yang melanda kawasan berkenaan sejak tahun 2012.

Menurut wakil penduduk, Romzi Mohd Hashim, 56, setiap kali hujan lebat selama dua jam, sebanyak 70 daripada lebih 100 rumah di kampung itu akan terjejas apabila dinaiki air hingga mencecah hampir satu meter.

Malah katanya, keadaan bertambah buruk sekiranya hujan lebat berlaku serentak dengan air pasang, kerana parit sedia ada tidak mampu menampung kapasiti air yang tinggi.

"Masalah banjir di kampung ini telah berlarutan sejak sekian lama. Punca utamanya ialah air hujan dari Kampung Bendahara yang disalur keluar ke kampung ini.

"Apabila kawasan Sungai Pandan di kampung ini mula dipenuhi air, maka banjir akan berlaku," katanya.

Romzi berkata demikian selepas Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyempurnakan majlis penyerahan rumah pam air kepada wakil penduduk di kampung itu pada Khamis.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor Jaya, Liow Cai Tung. Tambah Romzi, penduduk telah mengemukakan beberapa cadangan bagi menangani masalah banjir kilat di kawasan tersebut.

Antara cadangan yang dikemukakan ialah membina laluan keluar air dari Kampung Bendahara terus ke Sungai Sebulong sebelum disalurkan ke Sungai Pandan.

"Penduduk juga memohon agar pintu air yang dibina berhampiran lebuh raya dipindahkan ke kawasan kampung ini bagi memudahkan penduduk menjaga kemudahan tersebut.

"Sebelum ini, kerajaan telah membina pintu air, namun beberapa bahagiannya telah dicuri sehingga rosak dan tidak berfungsi. Jadi, kami mohon agar ia dipindahkan ke kawasan kampung," katanya.

Sementara itu, Cai Tung berkata, karenah birokrasi dan pertindihan kuasa antara Jabatan Kerja Raya (JKR), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), dan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) menjadi antara punca masalah banjir kilat di kampung tersebut tidak selesai sejak 13 tahun lalu.

Katanya, isu itu telah beberapa kali dibawa dalam mesyuarat penyelarasan yang melibatkan semua agensi terbabit, namun tiada tindakan susulan diambil.

"Bila kita bawa masalah ini kepada pihak berwajib, berlaku pertindihan kuasa; JKR kata di bawah JPS, JPS pula kata di bawah MBJB, semua letakkan tanggungjawab kepada pihak lain.

"Perkara ini menyebabkan isu ini berlarutan dan tidak dapat diselesaikan," ujarnya. Sementara itu, Hassan berkata, rumah pam yang dibina dijangka dapat membantu mengurangkan masalah banjir di kampung berkenaan.

"Alhamdulillah, setelah permohonan dibuat kepada Pejabat Perdana Menteri, sumbangan kira-kira RM70,000 telah disalurkan untuk membina rumah pam di kampung ini. "Walaupun ia mungkin tidak dapat menyelesaikan masalah banjir dalam jangka panjang, sekurang-kurangnya ada usaha dilakukan untuk membantu penduduk," katanya.

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search