Jambatan bailey Sg. Liat dibuka Rabu depan
- Admin UKK
- Berita
TANJUNG MALIM – Jambatan bailey sepanjang 46 meter yang dibina di lokasi jambatan runtuh di Sungai Liat, Felda Sungai Klah di sini dijangka boleh digunakan orang ramai bermula Rabu depan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, pemasangan jambatan bailey itu akan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Kinta bermula esok dan dijangka siap dibina Ahad ini.
“Ia akan menghubungkan Felda Sg. Klah dan Felda Residence Hotspring serta Kg. Orang Asli Sg. Tisong yang mempunyai lebih 500 orang penduduk,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
Terdahulu, beliau melakukan lawatan kerja bagi meninjau lokasi jambatan Sg. Liat yang runtuh akibat arus deras sungai berkenaan pada Sabtu lalu.
Ahmad berkata, secara lazimnya jambatan bailey yang dipasang akan digantikan dengan jambatan kekal bergantung kepada peruntukan JKR, kerajaan negeri dan Pusat.
Pada masa sama, Ahmad berkata, jalan berkenaan akan didaftarkan dengan Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya (MARRIS) bagi membolehkan kerajaan negeri menyelenggaranya menggunakan peruntukan persekutuan tahunan. – KOSMO! ONLINE