Jawatankuasa bertindak ditubuh tangani isu banjir Taman Sri Muda – Saifuddin Shafi
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM – Satu Jawatankuasa Bertindak akan ditubuhkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, Preakas Sampunathan dengan penglibatan pelbagai agensi serta pemegang taruh utama bagi menangani isu banjir yang berlarutan di Taman Sri Muda, Seksyen 25, di sini.
Penubuhan jawatankuasa ini diumumkan semasa tinjauan khas isu aduan banjir yang berlangsung di Pintu Air Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Taman Sri Muda, yang turut disertai oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad.
“Jawatankuasa Bertindak ini penting untuk memastikan segala cabaran dan isu yang timbul dapat diselesaikan secara bersepadu serta melibatkan suara penduduk secara langsung.
“Saya sendiri akan terlibat bersama ADUN Kota Kemuning dan wakil agensi lain dalam memastikan perkara ini dilaksanakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sesi tinjauan pada Isnin itu turut disertai wakil Pejabat Exco Infrastruktur dan Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan, Mohd Najwan Halimi; wakil MBI; Pengarah JPS Selangor, Datuk Ir Ts. Mohd Nazri Yasmin; Tenaga Nasional Berhad (TNB) Selangor; serta agensi-agensi berkaitan.
Penduduk turut mengambil peluang menyerahkan memorandum kepada Saifuddin untuk disampaikan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, bagi memohon tindakan segera terhadap isu banjir yang terus menjejaskan kehidupan harian mereka.
Penubuhan Jawatankuasa Bertindak ini mencerminkan keseriusan kerajaan negeri untuk menggarap pendekatan yang lebih tuntas, inklusif dan pantas dalam menangani isu banjir di Taman Sri Muda yang telah berlarutan sejak beberapa tahun lalu.