PTB bakal tangani banjir di Kota Tinggi
- Admin UKK
- Berita
KOTA TINGGI - Masalah banjir yang dihadapi penduduk Kota Tinggi dijangka berakhir dengan pelaksanaan Projek Tebatan Banjir (PTB) berskala besar giat dijalankan di daerah ini.
Menurut Ahli Parlimen Tenggara, Manndzri Nasib, projek bernilai RM1.2 bilion itu membabitkan kerja-kerja pembaikan dan pembesaran sungai dan menjadi pelan jangka panjang kerajaan untuk melindungi nyawa serta harta benda rakyat.
Manndzri yang juga Pengerusi Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Ukhuwah Aidilfitri 2025 yang dihadiri oleh ribuan masyarakat sekitar Kota Tinggi dan Bandar Tenggara di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya, di sini, pada Ahad.
Turut hadir dalam program Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti, Hahasrin Hashim, ADUN Pasir Raja, Rashidah Ismail dan Ketua Pengarah RISDA, Zainal Azni Zulkifli.
Untuk rekod, situasi banjir merupakan antara masalah terbesar di sini kerana sering kali berlaku yang mengakibatkan kerugian signifi kan kepada masyarakat sekitar, termasuklah memberi kesan terhadap sebahagian komuniti pekebun kecil getah di kawasan ini.
Tambah Manndzri, PTB yang sedang dilaksanakan membabitkan jajaran Sungai Johor yang hampir 60 peratus laluannya berada dalam kawasan Parlimen Tenggara menjadikan projek PTB sebagai antara terbesar di negeri ini.
Ia dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030 dan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi juga telah mengarahkan agar ia dapat disiapkan lebih awal, iaitu pada tahun 2027.
Setakat ini, kerajaan telah menyediakan sebuah Pusat Pemindahan Kekal Bencana di Dewan Serbaguna Taman Kota Jaya bagi menempatkan mangsa banjir.
Ia dinaiktaraf oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada tahun lepas.
“Dalam hal sebegini, kerajaan mengambil pendekatan yang amat serius kerana ia melibatkan permasalahan besar rakyat. Ini bukan janji kosong, tapi usaha konkrit untuk jamin kesejahteraan rakyat dalam jangka panjang.
"Saya sebagai Ahi Parlimen Tenggara akan terus memperjuangkan peningkatan dan kesejahteraan masyarakat di kawasan ini.
“Oleh itu, Insya-ALLAH, jika semua berjalan lancar, 1 Januari 2028 nanti kita akan sambut tahun baharu tanpa perlu risaukan banjir lagi,”katanya.