OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

‘Bantuan kediaman sementara ringan beban kami sekeluarga’

‘Bantuan kediaman sementara ringan beban kami sekeluarga’

“Alhamdulillah kami dapat tinggal di rumah lebih selamat sekarang,” kata Muhamad Ridzuwan Salehhudin, 33.

Pemandu teksi itu, antara yang terjejas insiden letupan paip gas di Putra Heights, sebelum ini tinggal di rumah bapa mentua di Kampung Tengah, bersama isteri, Farihatul Shazwin Azrim, 26.

Bagaimanapun, katanya, polis memaklumkan rumah itu tidak selamat didiami kerana banyak kerosakan termasuk pada pintu dan bumbung.

“Apabila kerajaan negeri tawarkan Rumah Selangorku sebagai rumah sementara, kami terus buat permohonan untuk mendapatkan Pangsapuri Seri Suria di Kota Warisan.

“Bantuan selama enam bulan ini sudah pasti akan meringankan beban kami sekeluarga,” katanya selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah Pangsapuri Seri Suria, di sini, semalam oleh EXCO Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah.

Muhamad Ridzuwan berkata, dia turut berhasrat menyambung sewa di rumah berkenaan kerana sebelum ini memang sudah mempunyai impian memiliki unit Rumah Selangorku.

“Saya berharap permohonan untuk menyewa selepas ini juga dapat diluluskan dengan lebih mudah,” katanya yang menganggarkan kerugian RM20,000 dalam tragedi pada 1 April lalu.

Rumah rosak teruk

Kontraktor, Abu Samah Rahmat, 58, pula berkata rumahnya di Kampung Tengah yang didiami sejak 1970-an rosak teruk dan tidak selamat diduduki ketika ini.

Katanya, sementara menunggu kediaman itu siap dibaiki yang tidak diketahui bila, dia bersetuju menerima tawaran Rumah Selangorku.

“Saya akan tinggal di Pangsapuri Seri Suria bersama tiga anak dan lokasi ini juga strategik untuk kami sekeluarga ke tempat kerja. Rumah ini juga selesa bagi kami anak-beranak kerana selain berkeluasan 1,000

kaki persegi, ada tiga bilik dan dua bilik air,” katanya.

Abu Samah berharap rumahnya yang rosak teruk dengan anggaran kerugian RM30,000 dapat siap dibaiki dalam tempoh enam bulan. “Kalau boleh memang hendak duduk semula di kediaman sendiri dan berharap ia dapat disiapkan dalam tempoh berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Borhan berkata, seramai 75 mangsa insiden itu membuat permohonan Rumah Selangorku dengan empat mangsa bersetuju tinggal di Pangsapuri Seri Suria, manakala baki masih dalam proses meneliti tawaran itu.

“Bagi yang rumah rosak teruk dan perlu tempoh lama untuk dibaiki, saya sarankan ambil peluang tawaran Rumah Selangorku untuk lebih selesa,” katanya.

Beliau turut mengalu-alukan mana-mana pihak yang berhasrat menawarkan bantuan menyewakan kediaman kepada mangsa Putra Heights tampil bekerjasama dengan kerajaan negeri.

Isnin lalu, kerajaan negeri menerusi Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor menawarkan 100 unit kediaman Rumah Selangorku di Pangsapuri Seri Suria, kediaman baharu dan lengkap dengan kipas dan lampu, berdasarkan konsep ‘siapa cepat dia dapat’.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search