OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Bina pintu kunci air atasi bah di Selangor

Bina pintu kunci air atasi bah di Selangor

Shah Alam: Pintu kunci air akan dibina di beberapa lokasi yang sering dinaiki air sebagai langkah segera mengatasi masalah banjir di Selangor.

EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim, berkata antara lokasi yang dikenal pasti memerlukan pintu kunci air adalah Kampung Baru Hicom, Shah Alam; Padang Jawa, Klang serta Kampung Tengah dan Kampung Seri Aman di Puchong.

Beliau berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) sudah diminta untuk meneliti beberapa lagi kawasan lain, sekali gus mengelakkan banjir berulang.

“Kita dapati ada pihak berkuasa tempatan (PBT) tiada pintu kunci air, hanya JPS yang ada (pintu kunci air).

“JPS (akan) pam air keluar dan satu lagi (PBT) menolak air. Maka, kerja mengepam air jadi sia-sia.

“Justeru, langkah segera kita bina pintu kunci air. Kita akan mohon peruntukan negeri supaya kerja ini dapat dijalankan secepat mungkin,” katanya, semalam.

90 projek tebatan banjir

Izham berkata, ketika ini lebih 90 projek tebatan banjir membabitkan peruntukan hampir RM4 bilion sedang dijalankan dan memerlukan masa beberapa tahun bagi memastikan ia berfungsi dengan baik.

“Tempoh diperlukan seawal proses pembinaan seperti reka bentuk, selain beberapa aspek lain, namun memberi jaminan masalah tidak lagi berlaku sekiranya projek siap.

Kita akan mohon peruntukan negeri supaya kerja ini dapat dijalankan secepat mungkin Izham Hashim, EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor

“Seperti di Taman Mutiara, Klang, kita terima aduan dan kolam takungan (di kawasan itu) hampir siap dan sudah berfungsi,” katanya.

Hujan lebat berterusan pada awal pagi Jumaat lalu menyebabkan lebih 1,000 penduduk sekitar Petaling dan Klang terjejas banjir dengan lebih 200 keluarga dilapor berpindah ke enam pusat pemindahan sementara (PPS).

Antara lokasi dinaiki air ialah Taman Sri Muda, Padang Jawa dan Meru, Klang.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search