OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

'Dulu dua tahun sekali, sekarang hampir setiap bulan banjir' - Penduduk

'Dulu dua tahun sekali, sekarang hampir setiap bulan banjir' - Penduduk

KULAI – Penduduk Kampung Melayu Bukit Batu mengeluh dengan masalah banjir yang semakin teruk di kawasan mereka, yang kini berlaku hampir setiap bulan berbanding dahulu hanya dua kali setahun.

Menurut salah seorang penduduk, Muhammad Amirul Aiman Hassni, 26, kawasan tersebut memang dikenal pasti sebagai kawasan mudah banjir, namun keadaannya semakin buruk sejak sungai berhampiran dikorek beberapa tahun lalu.

“Dulu setahun sekali pun susah nak banjir. Tapi sekarang, hampir setiap bulan kami dilanda banjir. Kalau hujan dua atau tiga jam sahaja, air dah masuk dalam rumah.

“Air bukan air biasa, tapi bercampur lumpur, najis haiwan dan sampah. Kami nak bersihkan pun bukan mudah. Kena pakai cangkul dulu baru boleh sembur dengan penembak air,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

 

Tambahnya, setiap kali banjir melanda, banyak harta benda penduduk kampung rosak termasuk tilam, sofa, perabot dan barangan elektrik. Ada penduduk yang baru sahaja membeli barang untuk menyambut hari raya, namun terpaksa membuangnya kerana rosak akibat banjir.

“Kampung ni ada lebih kurang 50 rumah, dan hampir semua terjejas bila banjir. Kami bukan tak hargai bantuan makanan atau wang ringgit, tapi kalau duit itu dikumpulkan untuk peparitan baharu, mungkin masalah ini dapat diselesaikan,” jelasnya.

Sungai Ulu Pontian yang terletak berhampiran kampung tersebut didakwa sebagai salah satu punca air melimpah setiap kali hujan. Menurut Muhammad Amirul, air sungai yang kini tidak mengalir dengan baik menyebabkan banjir kilat sering berlaku.

Seorang lagi penduduk, Nur Azimah Mohd Mahiyidin, 36, yang juga seorang pembantu perawatan kesihatan berkata, kejadian banjir tahun ini adalah paling kerap berbanding tahun-tahun sebelumnya.

“Memang pelik tahun ini, banyak sangat kali air naik. Saya rasa mungkin sebab sistem sungai atau perparitan. Sejak darjah lima saya duduk sini, tak pernah seteruk ini.

“Tahun ini saja dah empat kali banjir. Bulan Januari, air naik paras pinggang, kami ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS). Bila pulang ke rumah, dua hari selepas itu banjir lagi,” katanya.

Sementara itu, Nur Farahani Mamat, 30, turut meluahkan kebimbangan apabila banjir sering berlaku dalam tempoh singkat.

“Macam mana nak cakap ya, sebulan berkali-kali. Masa bulan puasa, lagi beberapa hari nak raya pun banjir. Kami dah tahu air paras mana, tapi makin dinaikkan barang, makin tinggi airnya.

“Macam peti ais dan almari, mana mampu angkat tinggi-tinggi kan... Tilam pun banyak dah buang,” katanya.

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search