Kelantan salur RM500,000 untuk Selangor, zahir solidariti kejadian di Putra Heights
- Admin UKK
- Berita
KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan menyumbangkan RM500,000 untuk Selangor sebagai tanda solidariti kepada mangsa kejadian kebakaran saluran paip gas di Putra Heights.
Sumbangan disampaikan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud kepada wakil kerajaan Selangor ketika kunjungan beliau di kediaman Menteri Besar Selangor, semalam.
Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan, berkata sumbangan itu sebagai rasa tanggungjawab serta persaudaraan memandangkan bantuan sama pernah diberikan ketika negeri ini ditimpa banjir.
"Selain sumbangan RM500,000 untuk kerajaan Selangor, sumbangan kewangan turut diberikan kepada tujuh keluarga terbabit yang juga rakyat Kelantan dengan masing-masing menerima RM5,000 serta barangan elektrik.
"Satu daripada tujuh keluarga itu adalah rakyat saya (di Dewan Undangan Negeri Temangan) dan saya sendiri sudah pun menyerahkan sumbangan peribadi.
"Semua bantuan itu adalah tanda tanggungjawab serta persaudaraan kami dengan Kerajaan Selangor yang pernah membantu negeri ini ketika dilanda banjir," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Kebudayaan Islam 2025 di Dewan Putik Pengkalan Chepa, di sini.
Mohamed Fadzli turut menzahirkan rasa dukacita dengan insiden yang berlaku 1 April lalu, namun bersyukur semua mangsa selamat termasuk tujuh keluarga rakyat Kelantan yang difahamkan berada di kampung halaman untuk berhari raya ketika kejadian itu.