2 PPS dibuka di Petaling
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM: Bencana Tahap Satu diisytiharkan dan dua pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka berkuat kuasa serta-merta bagi menempatkan penduduk yang terjejas susulan banjir kilat pagi tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Petaling, Huzunul Khaidil Mohammed berkata, dua PPS itu adalah Dewan Kenanga MBSA, Seksyen 28 membabitkan mangsa dari Kampung Bukit Lanchong.
Katanya, PPS kedua di Sekolah Kebangsaan Seksyen 16 Shah Alam yang menempatkan mangsa dari Kampung Padang Jawa.
“PPS Ini menempatkan mangsa yang terkesan akibat bencana banjir yang dikategorikan sebagai Bencana Tahap 1 di kawasan yang dimaklumkan dan yang berhampiran.
“PPS ini akan beroperasi sepanjang tempoh diperlukan bagi memastikan keselamatan dan kebajikan mangsa terjamin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu, EXCO Pengurusan Bencana negeri, Mohd Najwan Halimi, memaklumkan kepada media akan ke PPS di Sekolah Kebangsaan Seksyen 16 Shah Alam bagi meninjau keadaan mangsa yang ditempatkan di situ.
Katanya, jumlah mangsa belum dapat dipastikan lagi kerana masih dalam proses pendaftaran masuk ke PPS.
Terdahulu, media melaporkan hujan lebat sejak kira-kira jam 2 pagi tadi mengakibatkan berlaku banjir kilat di beberapa kawasan di negeri ini terutamanya daerah Petaling, Klang, Sepang, Hulu Langat dan Gombak.