OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Tragedi Putra Heights: Kerajaan kumpul data syarikat, pekerja terjejas

Tragedi Putra Heights: Kerajaan kumpul data syarikat, pekerja terjejas

PUTRAJAYA: Kementerian Pe­laburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dan Kementerian Sumber Manusia (Kesuma) diarah mengumpulkan data syarikat, kilang dan pekerja terjejas dengan penutupan saluran paip gas susulan letupan di Putra Heights, pada 1 April lalu.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, meskipun tum­puan kini bagi mengenal pasti punca insiden, kerajaan juga mahu meneliti jumlah syarikat, kilang dan pekerja yang terjejas dengan tragedi itu.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meminta kedua-dua kementerian untuk mendapatkan senarai penuh kilang dan syarikat yang terkesan.

Malah katanya, Suruhanjaya Tenaga (ST) juga akan bertemu dengan Persekutuan Pekilang Malaysia (FMM) bagi membincangkan isu terbabit.

“Bagi pihak kerajaan, sudah pasti usaha memperbaiki saluran tersebut dan mengembalikan bekalan gas bagi syarikat-syarikat ini menjadi satu keutamaan.

“Kita juga memahami bahawa proses siasatan masih berjalan dan tertakluk kepada beberapa aspek dalam proses siasatan tersebut,” katanya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di sini, semalam.

Utusan Malaysia melaporkan, empat stesen janakuasa utama di Lembah Klang terjejas ekoran tragedi letupan paip gas berkenaan.

Empat stesen tersebut ialah Stesen Janakuasa Connaught Bridge, Stesen Janakuasa Pulau Indah, Stesen Janakuasa Sultan Abdul Aziz (KEV) dan Stesen Janakuasa Putrajaya.

Suruhanjaya Tenaga bagai­manapun berkata, bekalan elektrik di Semenanjung Malaysia dalam keadaan stabil dengan beberapa langkah miti­gasi ­telah dan akan diambil.

Antaranya, pengoperasian secara optimum stesen-stesen janakuasa sedia ada termasuk penjanaan berasaskan arang batu dan kesiapsediaan peng­operasian stesen janakuasa yang terkesan menggunakan distillate fuel dan MFO.

Sementara itu, Gas Malaysia Berhad (Gas Malaysia) memaklumkan, susulan insiden tersebut kawasan penyekatan gas telah diperluas ke lima lokasi baharu melibatkan Merbau, Tronoh, Perai, Junjung dan Hutan Melintang.

Katanya, perluasan kawasan itu dijangka lebih ba­nyak pe­langgan mengalami gangguan perkhidmatan se­panjang tempoh penyekatan yang ditetapkan sehingga 20 April ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari pula dilaporkan berkata, nilai ke­rugian dan kerosakan kediaman dalam insiden itu dianggarkan sebanyak RM65.4 juta.

Jumlah itu berdasarkan pemerhatian dilakukan pasukan teknikal diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) terhadap 437 rumah yang dikenal pasti sebagai angka muktamad kediaman terlibat dalam insiden tersebut.

Menurut beliau, hasil pe­meriksaan mendapati, 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, manakala 81 rumah separa musnah, 57 terkesan tetapi tidak terbakar, dan sebanyak 218 rumah lagi tidak terjejas.

Katanya, tindakan pantas pasukan keselamatan ­seperti bomba dan bantuan orang awam termasuk penduduk, menyelamatkan harta benda bernilai dianggarkan berjumlah RM285.9 juta. – UTUSAN

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search