Letupan paip gas: KPKT tubuh ‘Task Force’ bantu mangsa
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) telah menubuhkan ‘Special Task Force’ bagi membantu mangsa dalam insiden kebakaran di Putra Heights, minggu lalu.
KPKT menerusi kenyataannya hari ini berkata, pasukan itu meliputi semua agensi di bawah kementeriannya, khususnya Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA).
“Task force berkenaan telah menghasilkan pelan tindakan untuk membaik pulih dan membina semula kediaman mangsa yang terjejas akibat kejadian kebakaran tersebut.
“Pelan tindakan berkenaan telah diserahkan kepada YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini.” katanya menerusi kenyataan itu.
KPKT turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi membaiki infrastruktur awam di kawasan bencana.
“Pada masa yang sama, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan memberi bantuan penuh kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk kerja-kerja
pembersihan di kawasan bencana tersebut.” memetik kenyataan itu lagi.
Kerja-kerja pembersihan berkenaan akan dilaksanakan oleh kedua-dua agensi bermula 12 dan 13 April.