Kebocoran saluran gas: Pelan tindakan pulih, bina rumah mangsa diserah kepada PM
- Admin UKK
- Berita
SHAH ALAM - Pelan tindakan untuk membaik pulih dan membina semula rumah-rumah mangsa yang terjejas susulan letupan paip gas di Putra Heights, Subang Jaya baru-baru ini telah diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada hari ini.
KPKT dalam satu kenyataan berkata, pelan tersebut disediakan oleh kementeriannya menerusi Special Task Force.
Menurutnya, Special Task Force itu terdiri daripada semua agensi di bawah KPKT khususnya agensi pelaksana iaitu Syarikat Perumahan Nasional Berhad (SPNB) dan Perbadanan Pr1ma Malaysia (pr1ma).
"KPKT memberi fokus utama kepada inisiatif pemulihan dan pembinaan semula rumah-rumah yang terjejas akibat kebakaran tersebut.
"Sehubungan itu, KPKT pada minggu lepas telah menubuhkan Special Task Force. Ia turut menyiapkan pelan tindakan berikutan pengumuman Perdana Menteri.
"Pelbagai bentuk bantuan telah disalurkan kepada mangsa-mangsa kejadian ini daripada Kerajaan Madani dan kerajaan negeri Selangor," katanya pada Rabu.
Sebelum ini dilaporkan, kebakaran saluran gas Petronas pada 1 April lalu mengakibatkan api menjulang hingga lebih 30 meter dengan suhu mencecah 1,000 darjah Celsius dan mengambil masa hampir lapan jam untuk dipadamkan sepenuhnya.
Tambah kenyataan itu, bantuan tersebut merangkumi bantuan wang tunai, bantuan sewa rumah transit, penyewaan kereta secara percuma, dan sebagainya.
Jelasnya, mesyuarat Jemaah Menteri hari ini memberikan perhatian serius terhadap insiden kebakaran tersebut.
"Hari ini juga KPKT mengumumkan peruntukan sebanyak RM2 juta kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) bagi membaiki infrastruktur awam di kawasan bencana.
"Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan memberi bantuan penuh kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk kerja-kerja pembersihan di kawasan bencana sempena gotong-royong pembersihan hujung minggu ini," ujarnya.