Tindakan pantas bomba, usaha penduduk selamatkan RM285.9J
- Admin UKK
- Berita
Nilai kerosakan kediaman dalam kejadian letupan paip gas di Putra Heights minggu lalu dianggarkan mencecah RM65.4 juta.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata hasil penilaian awal Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) itu termasuk kos pendawaian elektrik.
Bagaimanapun, beliau berkata, penilaian kerosakan kepada infrastruktur awam dan kawasan berdekatan sedang berjalan.
“Dengan tindakan pantas pihak bomba, juga pasukan keselamatan kita serta usaha penduduk, kita dapat menyelamatkan RM285.9 juta,” katanya pada sidang media di Wisma Dewan Annexe, di sini semalam.
Amirudin berkata, sehingga kelmarin, sejumlah 151 rumah disahkan selamat dan pemilik rumah terbabit sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
“Pasukan sukarelawan seperti Sukarelawan Selangor (SERVE) dan Team Selangor telah turun ke rumah-rumah ini untuk membantu proses pembersihan dengan kebenaran pemilik rumah agar mereka dapat mula kembali ke kehidupan harian dengan lebih pantas,” katanya.
Beliau berkata, pihak Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) akan memberikan bantuan RM500 kepada 265 pelajar bagi membolehkan mereka membeli keperluan asas yang musnah akibat kebakaran.
Sementara itu, beliau berkata, JBPM Selangor sudah melakukan pemeriksaan dan siasatan terhadap 437 rumah yang dikenal pasti sebagai angka muktamad oleh pasukan teknikal.
Katanya, rumah terbabit diletakkan dalam tiga kategori iaitu musnah sepenuhnya dengan kebakaran struktur melebihi 40 peratus, separa musnah kebakaran struktur kurang 40 peratus dan terkesan tetapi tidak terbakar.
Beliau berkata, bagi kategori pertama sebanyak 81 rumah disahkan musnah sepenuhnya, manakala 81 lagi ditakrifkan separa musnah dan 57 lagi terbakar tetapi tidak mengalami kebakaran kepada struktur dan baki 218 rumah diperiksa tidak terjejas.
“Mesyuarat hari ini (semalam) juga memuktamadkan senarai mangsa dan sehingga jam 6 petang semalam (kelmarin), 613 isi rumah didaftarkan dengan pusat pemindahan sementara (PPS) daripada keseluruhan 437 rumah termasuk yang disewakan bilik,” katanya.
Terima sumbangan tunai
Selain itu, Amirudin berkata, pemilik rumah yang musnah sepenuhnya akan menerima bantuan tunai RM10,000, iaitu masing-masing RM5,000 sumbangan PETRONAS dan kerajaan Persekutuan.
Beliau berkata, rumah yang terkesan dan juga penyewa, masing-masing menerima RM2,500 dari PETRONAS dan kerajaan Persekutuan.
Katanya, sesi pertama penyampaian bantuan semalam dilaksanakan kerajaan negeri membabitkan 219 pemilik yang sudah disahkan.
Selain itu beliau berkata, kerajaan negeri bersetuju menampung kos sewaan kepada pemilik dan penyewa yang terjejas dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM7.356 juta membabitkan 617 keluarga.
Katanya, kerajaan negeri akan memberikan sebanyak RM2,000 kepada setiap pemilik dan penyewa rumah yang terjejas selama tempoh enam bulan bagi membolehkan mereka menyewa rumah, sementara rumah sedang diperbaiki atau dibina semula.
Beliau turut mengumumkan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Johary Anuar mengetuai fasa pemulihan termasuk keadaan dan kaedah baik pulih kawasan seperti rumah, jalan, infrastruktur dan fasiliti awam.