PGB nilai impak kewangan, operasi
- Admin UKK
- Berita
Petronas Gas Bhd (PGB) sedang giat menilai impak kewangan dan operasi akibat insiden paip gas di Putra Heights, berhampiran Puchong, Selangor, 1 April lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, semalam syarikat itu berkata, ia juga memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak berkuasa yang berkaitan untuk menentukan punca kejadian serta mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada insiden terbabit.
“Siasatan dijangka selesai pada Mei 2025. Keutamaan tertinggi syarikat ketika kami pulih daripada insiden ini adalah memastikan keselamatan orang ramai, membantu mereka yang terjejas dan menjaga keselamatan bekalan gas,” kata PGB.
Sebagai sebahagian usaha berterusan, syarikat itu berkata, ia kini sedang menilai langkah pembaikan yang berpotensi dan sedang bekerja rapat dengan pihak berkuasa yang berkaitan untuk memastikan operasi di kawasan terbabit dapat disambung semula dengan selamat dan cekap.
“Syarikat tetap komited untuk menyelesaikan perkara ini dengan keutamaan tertinggi dan akan terus memberikan kemas kini serta pengumuman seterusnya seiring dengan perkembangan situasi,” katanya.
Bekalan elektrik kekal stabil
Sementara itu, Suruhanjaya Tenaga (ST) dalam satu kenyataan berkata, bekalan elektrik di Semenanjung kekal stabil, tetapi bekalan gas terganggu di beberapa kawasan di zon tengah susulan letupan paip gas di Putra Heights.
ST memaklumkan insiden berkenaan turut mengakibatkan gangguan bekalan di empat stesen jana kuasa utama di Lembah Klang iaitu Stesen Janakuasa Connaught Bridge, Stesen Janakuasa Pulau Indah, Stesen Janakuasa Sultan Salahuddin Abdul Aziz (KEV) dan Stesen Janakuasa Putrajaya.
“Namun, bekalan elektrik di Semenanjung dalam keadaan stabil dengan beberapa langkah mitigasi telah dan akan diambil.
“Antara langkah mitigasi yang diambil, termasuk pengoperasian secara optimum stesen jana kuasa sedia ada, termasuk penjanaan berasaskan arang batu dan pemantauan permintaan dan perancangan penjanaan yang lebih terperinci merangkumi pelbagai senario risiko,” menurut kenyataan itu.
Langkah mitigasi interim juga sedang diteliti secara berterusan dan pihak ST akan menganjurkan sesi libat urus dengan pengguna yang terjejas dalam tempoh terdekat.
Sementara itu, menurut suruhanjaya berkenaan, bekalan gas di Semenanjung terganggu di beberapa kawasan di zon tengah iaitu Shah Alam, Klang, Serdang, Puchong, Batu Tiga dan Kapar serta beberapa kawasan di zon utara.
“Pengguna yang terkesan sudah mula menerima notis gangguan daripada pembekal masingmasing dan gangguan dijangka hingga 20 April ini. Bekalan gas masih ada dalam kuantiti yang terhad dan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan kritikal seperti hospital dan penjanaan elektrik serta keperluan untuk menstabilkan tekanan paip gas,” menurut kenyataan itu.
ST dengan kerjasama beberapa pihak berkepentingan utama dalam sektor pembekalan gas dan elektrik, sedang memantau secara terperinci situasi pembekalan elektrik dan gas di Semenanjung.
“Usaha kini tertumpu kepada menilai kesan gangguan bekalan gas, langkah mitigasi dan pelan interim dengan mengambil kira pelbagai senario sehingga keadaan pulih. Insiden kebakaran paip gas ini adalah insiden terpencil di Semenanjung,” menurut kenyataan itu.
ST menyeru semua pihak yang terbabit untuk terus bekerjasama dan menggalakkan semua pengguna sentiasa mengutamakan keselamatan serta memastikan penggunaan tenaga secara berhemah agar dapat menangani impak secara kolektif bagi kesejahteraan bersama.