Hilang semangat nak beraya
- Admin UKK
- Berita
“Raya belum sampai seminggu, tapi kami kena pindah, hilang rasa teruja nak raya,” kata Hadzalin Sanek, 50, seorang daripada 274 mangsa yang dipindahkan buat kali kedua ke pusat pemindahan sementara (PPS), kelmarin.
Ibu kepada dua anak berusia 22 dan 23 tahun serta ibunya Siti Khadijah Karjo, 74, dari Kampung Baru, Sri Gading di sini dipindahkan pada hari raya keempat selepas hujan lebat sejak Selasa lalu.
“Kami bersemangat nak raya selepas dibenarkan pulang ke rumah dua hari sebelum raya, siap beli daging dan keperluan lain. Tiba-tiba arahan dikeluarkan agar kami segera ke PPS, kami reda walaupun hanya dapat merasai suasana raya dalam tempoh singkat.
“Cuma kami risau keadaan rumah, jika terlalu lama digenangi air akan menyebabkan kerosakan serta bimbang dimasuki binatang liar.
“Kebun kelapa sawit sekitar sudah dipenuhi air, jadi ada kemungkinan binatang (berbisa) itu akan datang mencari tempat perlindungan,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Mangsa lain, Halizan Rejab, 55, berkata, air naik kali kedua bermula pada raya ketiga dan kejadian banjir kali ini adalah paling lama kerana menjangkau dua minggu sejak 23 Mac lalu.
Menurutnya, penduduk dimaklumkan kejadian mungkin disebabkan projek tambak tanah selain aliran sungai utama di Parit Karjo, Senggarang tersekat akibat rumput tebal.
Sementara itu, Ahli Parlimen Sri Gading, Aminolhuda Hassan berkata, beliau meminta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menambah pam sedia ada bagi memudahkan air surut.
Menurutnya, ketika ini pam sedia ada tidak mencukupi untuk membantu mengalirkan air banjir ke sungai.
“Setakat ini, di Sri Gading ada satu pam, kalau JPS boleh tambah hingga empat (pam), maka air segera dibawa ke laut atau keluar dari tempat banjir.
“Kita sedia maklum banjir termenung hanya berlaku di sini (Batu Pahat). Inilah yang masalah yang penduduk hadapi,” katanya.