OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

130 unit kediaman disahkan selamat, penghuni dibenar pulang

130 unit kediaman disahkan selamat, penghuni dibenar pulang

Sejumlah 130 unit rumah terbabit insiden letupan paip gas di Putra Heights, disahkan selamat dan penghuninya sudah dibenarkan pulang ke kediaman terbabit.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata 130 unit rumah itu daripada keseluruhan 235 yang dikenal pasti terbabit di kawasan Taman Putra Harmoni.

“Bagaimanapun, penghuni di Kampung Sungai Baru belum dibenarkan pulang kerana keadaan masih belum selamat sebagaimana laporan pihak bomba, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan jabatan berkaitan.

“Justeru, saya mengingatkan penduduk yang belum mendapat kebenaran pulang, tidak pulang ke rumah masing-masing kerana tiada jaminan keselamatan.

“Saya juga akan memperketatkan kawalan kemasukan kerana di pihak polis ada kelonggaran tertentu sahaja untuk membenarkan mereka mengambil dokumen penting dengan diiringi bomba di lokasi,” katanya pada sidang media di Wisma Dewan Annex, di sini, semalam.

Amirudin berkata, kerajaan negeri bimbang berlaku perkara tidak diingini jika mereka masuk ke lokasi berkenaan tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

“Kalau mereka masuk sendiri tanpa melapor kepada komandan atau pegawai kita di lapangan, saya bimbang akan berlaku insiden yang tidak kita ingini.

“Ada laporan saya terima, mereka yang pulang ke rumah terpaksa mendapatkan rawatan balik di pusat pemindahan sementara (PPS) kerana mengadu sesuatu yang kurang selesa selepas mereka pulang.

“Apabila disemak, itu di kawasan Kampung Sungai Baru atau Kampung Kuala Sungai Baru yang belum ada kelulusan (kebenaran pulang ke rumah),” katanya.

509 keluarga terjejas

Sementara itu, Amirudin berkata, kerajaan negeri mengenal pasti 509 keluarga yang terjejas dengan tragedi itu berdaftar dengan PPS, namun sebahagian tidak tinggal di situ sebaliknya memilih tinggal di luar kawasan.

“Masih ada mangsa menyewa atau pemilik rumah di Taman Putra Harmoni dan Kampung Kuala Sungai Baru tidak berdaftar kerana belum pulang dari kampung berikutan cuti Aidilfitri. Saya minta mereka daftar dengan segera.

“Mereka perlu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di PPS Dewan Serbaguna Masjid Putra Heights, tidak kira sama ada ingin duduk di PPS atau tidak, termasuk mangsa yang kini menumpang rumah saudara-mara atau rumah kawan atau di rumah lain.

“Apa yang penting, buat masa ini kena mendaftar dengan PPS supaya tiada sesiapa tercicir daripada bantuan yang akan disampaikan,” katanya menambah proses pendaftaran mangsa dijangka ditutup tengah hari ini,

“Esok (hari ini), pendaftaran kita akan tutup sebab kita hendak selaraskan segala data dan maklumat dengan bomba dan JKM.

“Pejabat Tanah dan Daerah Petaling juga akan membuat perbandingan senarai rumah yang kita sudah kenal pasti.

“Ada kerumitan kerana di beberapa lokaliti, beberapa premis adalah rumah sewa, sebahagiannya lebih daripada satu pintu. Justeru, kita ada satu kategori baharu, iaitu kategori penyewa.

“Jadi rumah yang musnah sepenuhnya itu kategori satu, kategori kedua adalah rumah yang terkesan tetapi tidak musnah dan penyewa,” katanya.

Katanya, pemilik rumah musnah sepenuhnya akan menerima RM5,000, pemilik rumah dan penyewa terkesan pula masing-masing akan menerima RM2,500 bermula esok.

“Sumbangan ini dijangka disalurkan sepanjang minggu depan. Kita ucapkan terima kasih kepada semua terbabit sama ada PETRONAS, pengurusan bencana peringkat negeri dan daerah serta JKM yang menguruskan tempat perlindungan dan bantuan,” katanya.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search