OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Latih rakyat ‘duduk, lindung dan bertahan’ ketika gempa bumi

Latih rakyat ‘duduk, lindung dan bertahan’ ketika gempa bumi

Gempa bumi melanda Myanmar dan Thailand yang mengorbankan lebih 2,700 nyawa dan mencederakan 4,500 yang lain, sekali lagi menimbulkan persoalan mengenai risiko bencana itu di negara ini.

Walaupun Malaysia terletak di luar Lingkaran Api Pasifik, kita tidak sepenuhnya bebas daripada ancaman gempa bumi. Malaysia pernah mengalami gegaran, terutama di Sabah dan Sarawak disebabkan kedudukan geografinya berdekatan garis sesar aktif. Ini adalah peringatan jelas bahawa kita tidak boleh bersikap leka, sebaliknya perlu mengambil langkah proaktif bagi meningkatkan kesiapsiagaan menghadapi bencana alam ini.

Malaysia sebenarnya membuat kemajuan yang baik dalam memastikan bangunan tinggi dibina menggunakan bahan dan reka bentuk yang tahan gempa.

Namun, kesiapsiagaan bukan hanya tertumpu kepada aspek infrastruktur semata-mata, sebaliknya memerlukan strategi menyeluruh yang membabitkan semua pihak - agensi kerajaan, sektor swasta dan rakyat secara keseluruhannya.

Bagi meningkatkan daya tahan negara terhadap gempa bumi, kerajaan digesa mengambil beberapa langkah penting.

Pertama, menguatkuasakan dan memperkukuh piawaian keselamatan bangunan. Semua pembangunan baharu, terutama bangunan tinggi, sekolah, hospital dan infrastruktur kritikal mesti mematuhi kod bangunan tahan gempa.

Bangunan lama di kawasan berisiko tinggi juga perlu menjalani penilaian struktur dan pengukuhan jika perlu.

Kedua, meningkatkan kesedaran dan kesiapsiagaan awam. Rakyat di negara ini perlu dididik mengenai langkah keselamatan gempa bumi, termasuk kaedah ‘Duduk, Lindung dan Bertahan.’

Latihan kecemasan gempa bumi perlu diadakan secara berkala di sekolah, tempat kerja dan kawasan kediaman supaya orang ramai tahu bagaimana bertindak dengan berkesan.

Ketiga, memperkasakan sistem amaran awal dan respons kecemasan. Pihak berkuasa perlu melabur dalam sistem pemantauan seismik yang lebih canggih, sekali gus bekerjasama dengan pusat pemantauan gempa bumi serantau bagi meningkatkan keupayaan amaran awal.

Pasukan tindak balas bencana juga perlu diberi latihan dan kelengkapan yang mencukupi untuk menangani kecemasan akibat gempa bumi.

Perkukuh kesiapsiagaan

Keempat, memperkukuh kesiapsiagaan di peringkat komuniti dan isi rumah. Setiap keluarga dan tempat kerja perlu mempunyai kit kecemasan yang mengandungi bekalan penting seperti makanan, air, alat pertolongan cemas, lampu suluh dan bateri.

Mengenal pasti zon selamat di rumah dan pejabat juga amat penting untuk mengurangkan risiko kecederaan semasa gempa bumi.

Kelima, menggalakkan penyelidikan dan pembangunan dasar. Penyelidikan berterusan mengenai aktiviti seismik di negara ini perlu dilakukan bagi memperkemas dasar dan pelan kesiapsiagaan.

Kerajaan juga perlu mempertimbangkan skim insurans gempa bumi untuk hartanah di kawasan berisiko bagi mengurangkan impak kewangan akibat bencana.

Keselamatan rakyat di negara ini mesti menjadi keutamaan. Kita tidak boleh menunggu sehingga bencana berlaku sebelum bertindak.

Gempa bumi di negara jiran baru-baru ini adalah satu peringatan penting untuk kita memperkukuh kesiapsiagaan dan daya tahan negara.

Apa yang penting, semua pihak perlu bekerjasama dalam memastikan Malaysia sentiasa selamat dan bersedia menghadapi sebarang cabaran seismik pada masa hadapan.

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search