Ingatkan tekanan darah tinggi, rupanya gempa bumi, kata exco
- Admin UKK
- Berita
Exco Pulau Pinang Wong Hon Wai pada mulanya menyangka dia pening kerana tekanan darah tinggi, apabila merasakan gegaran akibat gempa bumi di Myanmar hari ini.
“Waktu gegaran itu sekitar 2.30 petang saya ada di pejabat di bangunan Komtar dan berasa sedikit pening, ingat tekanan darah tinggi kerana terlalu sibuk sekarang ini, tapi lepas itu baru terima maklumat ada gempa bumi di Myanmar,” katanya.
Gegaran turut dirasai oleh pekerja pejabat dan pelajar kolej di beberapa bangunan tinggi di George Town, serta penghuni pangsapuri sekitar Butterworth.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, Shoki Hamzah, berkata anggota dan jentera bomba bergegas memantau sebuah kolej swasta di Lebuh Pantai, George Town dan sebuah bangunan kediaman di Butterworth.
“Setakat ini semua dalam keadaan selamat dan tiada insiden tidak diingini berlaku… didapati tidak melibatkan mangsa atau kerosakan pada bangunan. Hanya berlaku gegaran kecil pada bangunan,” lapor Bernama.
Seorang penduduk Butterworth, Ling Cheah, 32, sedang membasuh pinggan ketika merasai gegaran di pangsapurinya. Dia segera menarik kakaknya keluar dari rumah untuk menyelamatkan diri.
Kejadian ini kali pertama beliau merasai gegaran gempa bumi, yang dirasainya selama lebih seminit.
“Waktu itu ingat pening kepala tapi makin rasa gegaran dan terus heret kakak saya,” katanya.
Seorang pekerja di Komtar, Nur Aishah Ridzuan, 24, berkata beliau dan rakan-rakan keluar bangunan apabila merasai gegaran.
“Alhamdulillah semuanya selamat,” katanya yang turut berasa pening akibat gegaran itu.