OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Gempa bumi: Bangkok isytihar 'zon kecemasan', gegaran dirasai di seluruh wilayah

Gempa bumi: Bangkok isytihar 'zon kecemasan', gegaran dirasai di seluruh wilayah

BANGKOK: Gempa bumi berukuran 7.7 magnitud yang melanda tengah Myanmar hari ini menyebabkan runtuhan bangunan turut berlaku di Thailand, di mana pihak berkuasa mengisytiharkan 'darurat' di ibu negara Bangkok, lapor CNN.

Video yang dikongsikan di media sosial menunjukkan penduduk panik di seluruh Myanmar dan Thailand akibat bencana itu.

Mereka berlari dari kawasan bangunan kediaman yang turut berlaku gegaran dengan habuk memenuhi ruang udara serta lalu lintas berhenti secara tiba-tiba di sekitar jalan di bandar yang sibuk.

Gegaran turut dirasai di wilayah Yunnan barat daya China, yang berjiran dengan Myanmar.

Junta Myanmar sudah mengisytiharkan darurat di seluruh pusat utama negara, termasuk di bandar kedua paling ramai penduduk di Mandalay dan ibu kota yang dibina tentera, Naypyidaw.

Di bandar Taungoo, 70 batu di selatan ibu kota Naypyidaw, Reuters melaporkan, tiga orang terbunuh selepas sebahagian masjid runtuh, ketika pihak berkuasa melancarkan usaha menyelamat.

Perdana menteri Thailand turut mengisytiharkan 'zon kecemasan' atau darurat di ibu negara Thailand selepas gempa bumi terbabit menyebabkan runtuhan sebuah bangunan tinggi yang sedang dalam pembinaan.

Dalam insiden itu, sekurang-kurangnya seorang maut, manakala 50 yang lain cedera.

Menurut Institut Perubatan Kecemasan Kebangsaan (NIEM) Bangkok, pihak berkuasa ketika ini bergelut untuk menyelamatkan puluhan mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan.

Gabenor wilayah itu turut memberi amaran kepada orang ramai supaya berhati-hati susulan banyak bangunan tinggi dikesan mengalami kerosakan akibat kesan gegaran.

Gempa bumi kuat berlaku sekitar jam 12.50 tengah hari waktu tempatan berhampiran dengan Mandalay yang menempatkan kira-kira 1.5 juta penduduk dan kompleks kuil bersejarah.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat, beberapa gempa susulan melanda di kawasan berhampiran, termasuk satu daripadanya berukuran 6.4 magnitud.

Setakat ini belum maklumat rasmi daripada pihak berkuasa Myanmar mengenai tahap kerosakan susulan gempa bumi terbabit.

Beberapa penduduk di Mandalay memberitahu Reuters, mereka melihat sendiri kejadian runtuhan beberapa bangunan.

Seorang daripada penduduk yang enggan namanya didedahkan berkata, mereka melihat bangunan lima tingkat runtuh di bandar itu dan seorang lagi penduduk, Htet Naing Oo, berkata sebuah kedai teh runtuh dengan beberapa orang terperangkap di dalamnya.

 

 

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search