OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Bantuan RM3,000 ringankan beban mangsa banjir

Bantuan RM3,000 ringankan beban mangsa banjir

Mangsa banjir bersyukur mula menerima bantuan RM3,000 bagi meringankan beban akibat banjir yang melanda beberapa daerah di negeri ini.

Seramai 3,749 Ketua Isi Rumah (KIR) yang berdaftar di pusat pemindahan sementara (PPS) menerima Bantuan Khas Kewangan Bencana Banjir Monsun Timur Laut (MTL) bermula jam 8 pagi semalam membabitkan enam daerah.

Penerima bantuan yang juga ibu tunggal, Mailah Bakar, 59, hampir keseluruhan barangan dalam rumahnya musnah dan rosak dalam kejadian banjir kali ini.

Beliau bersyukur dengan bantuan yang dihulurkan dapat meringankan sedikit bebannya, terutama menjelang Aidilfitri.

“Alhamdulillah syukur, jika dibandingkan dengan kerosakan akibat banjir yang kami alami memang lebih besar. Tetapi ini semua ujian, kita tidak minta kejadian ini dan kerajaan juga tidak minta banjir berlaku.

“Sekurang-kurangnya bantuan ini dapat kami gunakan untuk membeli kelengkapan penting untuk kegunaan harian, termasuk kelengkapan seorang anak saya adalah orang kurang upaya (OKU) akibat kemalangan.

“Hari raya kali ini sekadar apa adanya sahaja, bantuan seperti beras dan makanan asas juga kami terima sebelum ini,” katanya ketika ditemui di pusat agihan bantuan khas MTL di Dewan Pejabat Daerah Kulai di sini, semalam.

Penyelia Kilang, Mohammad Sabran, 41, dari Kampung Sengkang, juga melahirkan rasa syukur dan berterima kasih atas keprihatinan kerajaan negeri.

Katanya, sumbangan ini akan digunakan sebaiknya untuk empat anaknya yang turut terkesan dengan bencana itu.

“Mungkin orang luar lihat RM3,000 jumlah yang sedikit, tetapi bagi kami yang hampir semua barangan musnah akibat banjir, jumlah ini sangat bermakna.

“Syukur bantuan diserahkan kepada kami sebelum hari raya. Sekurang-kurangnya boleh kami membuat sedikit persiapan pada pagi raya nanti,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Permai, Mohd Jafni Md Shukor, berkata 575 mangsa banjir menerima bantuan khas ini di daerah Kulai dengan nilai peruntukkan RM1.725 juta.

Kelmarin, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, dilaporkan berkata, 3,749 KIR yang terjejas akibat banjir di negeri itu akan menerima bantuan khas RM3,000 daripada kerajaan negeri

Katanya, bantuan RM11.24 juta itu akan diagihkan serentak di enam daerah terjejas bagi meringankan beban mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan kerosakan harta benda.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search