OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Jumlah mangsa banjir di Johor menurun

Jumlah mangsa banjir di Johor menurun

Johor Bahru : Situasi banjir di Johor menunjukkan perkembangan baik apabila seramai 2,459 mangsa banjir sudah pulang ke rumah masing-masing, setakat tengah hari ini.

Malah, sebanyak 27 pusat pemindahan sementara (PPS) sudah ditutup, menjadikan hanya 68 sahaja yang masih aktif di enam daerah yang terjejas banjir di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, setakat jam 12 tengah hari ini, jumlah mangsa banjir yang masih di PPS adalah sebanyak 10,630 orang terdiri daripada 3,049 keluarga.

Beliau berkata, ia berkurang berbanding 13,089 orang terdiri daripada 3,749 keluarga pada sebelah pagi tadi.

"Kota Tinggi menunjukkan pengurangan mangsa banjir yang ketara iaitu daripada 1,690 orang (491 keluarga) pagi tadi, menjadi hanya 108 orang (30 keluarga) dengan tinggal dua sahaja PPS yang aktif.

"Kluang juga merekodkan jumlah mangsa banjir yang berkurangan iaitu daripada 2,458 orang (708 keluarga) pagi tadi kepada 1,839 orang (512 keluarga) yang kini ditempatkan di 14 PPS di daerah itu.

"Jumlah mangsa banjir di Kulai juga berkurang daripada 1,531 orang (460 keluarga) pagi tadi kepada 968 orang (306 keluarga) yang masih di empat PPS," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Azmi yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, Batu Pahat yang baru terjejas dalam banjir kali ini juga menunjukkan penurunan jumlah mangsa banjir menjadi 211 orang (79 keluarga) di dua PPS yang diaktifkan.

Menurut beliau, hanya Johor Bahru dan Pontian yang masih menunjukkan penambahan jumlah mangsa banjir yang mana Johor Bahru daripada 5,402 orang (1,532 keluarga) pada pagi tadi meningkat kepada 5,550 orang (1,581 keluarga) dengan 27 PPS masih aktif setakat tengah hari ini.

Manakala, katanya, di Pontian, daripada 1,782 orang (488 keluarga) meningkat kepada 1,954 orang (541 keluarga) di 19 PPS.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir di Segamat, Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru tengah hari ini, namun tiada sebarang amaran hujan bagi negeri ini.

Pada masa sama, Sungai Batu Pahat, Sungai Endau dan Sungai Pulai sahaja yang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya.

Setakat jam 12 tengah hari tadi, daerah Muar, Segamat dan Kluang sahaja dilaporkan hujan, manakala Mersing dan Kulai mendung serta lima daerah di negeri ini dilaporkan cerah.

Tiga jalan masing-masing dua di Kota Tinggi dan satu di Segamat masih dilaporkan terputus hubungan.

Jalan Lukut Cina di Taman Aman, Kota Tinggi ditutup untuk semua jenis kenderaan akibat arus deras dengan Jalan Johor Bahru - Endau dekat LGM atau Bukit Samsu menjadi laluan alternatif.

Jalan Mawai Lama, Kota Tinggi juga ditutup untuk semua jenis kenderaan kerana arus deras dan laluan alternatif adalah di Jalan Lok Heng atau Jalan Mawai atau Sungai Mas.

Jalan Jabi, Bukit Tempurung di Segamat pula ditutup untuk semua jenis kenderaan, namun tiada laluan alternatif.

 
 
Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search