OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Tak dapat nak fikir raya lagi, persiapan raya sudah rosak

Tak dapat nak fikir raya lagi, persiapan raya sudah rosak

Johor Bahru : "Duit sudah habis beli persiapan raya, tetapi kini semua sudah tiada. Kalau nak kemas pun, lebih dua minggu rasanya baru selesai, macam mana nak raya," kata Mastam Gareng, 71.

Mastam adalah penduduk Kampung Maju Jaya di sini, yang juga mangsa banjir yang melanda enam daerah di negeri ini sejak kelmarin, susulan hujan berterusan pada Rabu lalu.

 

Menurutnya, semua barangan dalam rumah termasuk persiapan raya yang dibuat sudah musnah ditenggelami air.

"Saya ada buat kerepek, tetapi bahan mentah nak buatnya pun sudah habis rosak. Allah saja yang tahu betapa sedihnya hati ini," katanya.

Rata-rata penduduk Kampung Maju Jaya mula melakukan kerja pembersihan di kediaman masing-masing memandangkan keadaan banjir yang pulih di kawasan itu semalam.

Melihat keadaan rumah, mereka menyifatkan ini adalah bencana banjir yang terburuk dialami mereka.

Mastam berkata, rumahnya sudah biasa dinaiki air jika berlaku limpahan dari sungai setiap kali hujan tetapi tidak menyebabkan kerosakan dan kerugian besar.

"Saya tinggal di sini dari 1959, memang selalu banjir sebab rumah tepi sungai tetapi tahun ini paling teruk," katanya.

Seorang lagi penduduk kampung di situ, Norazianah Rubaee, 40, yang mengambil upah membuat kuih raya pada setiap Ramadan berkata, semua bahan termasuk peralatan membuat kuih raya sudah rosak.

"Setiap tahun saya jual kuih raya ketika bulan Ramadan dan ada juga ambil tempahan untuk masak juadah pada hari raya.

"Tiada apa yang boleh saya buat, boleh dikatakan kebanyakan peralatan atau barang mungkin rosak. Kerugian lebih RM6,000 termasuklah deposit kuih raya pelanggan yang sudah bayar 50 peratus," katanya yang memberitahu air naik terlalu pantas dan tidak sempat menyelamatkan barangan dalam rumahnya.

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search