Duka sambut Syawal
- Admin UKK
- Berita
Penduduk Kampung Pasir Tebrau, di sini, pasrah dan reda apabila banjir kembali melanda kampung mereka, tahun ini.
Menyifatkan antara banjir terburuk, pekerja swasta Hairul Azim Jasmin, 21, berkata dia sedih apabila kejadian berlaku pada Ramadan dan menjelang 1 Syawal.
Menurutnya, segala persiapan yang sudah dibeli untuk menyambut Aidilfitri termasuk pakaian, langsir dan televisyen baharu tidak dapat diselamatkan.
“Sebagai penduduk, inilah cabaran yang kami perlu tempuhi. Saya dan keluarga hanya sempat selamatkan dokumen penting sahaja, manakala selain daripada itu, semuanya musnah ditenggelami air,” katanya ketika ditemui untuk berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
Hairul Azim yang tinggal di rumah itu sejak lahir bersama ibu bapa dan dua beradik lain mendakwa kejadian banjir akan terus berulang kerana sungai semakin cetek dan tiada pembinaan tebing.
“Kami difahamkan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), jika hujan berlarutan dua hingga tiga hari, memang akan jadi masalah sebab sungai semakin cetek dan tiada pembinaan tebing dibuat.
“Jadi, kita memang akan alami benda sama. Tahun lepas juga banjir berlaku awal tahun seperti ini dan keseluruhannya musnah,” katanya.
Kampung Pasir Tebrau menempatkan 105 keluarga dengan 54 rumah terdiri daripada penduduk pelbagai usia.
Suri rumah, Zaleha Bachok, 52, berkata hujan berterusan sejak pagi kelmarin membuatkan rumahnya dinaiki air sehingga ke paras dada walaupun berada di kawasan tinggi.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa berbuka puasa di luar apabila air mula naik menjelang petang kelmarin.
“Saya keluar rumah lebih awal kerana hendak selamatkan seorang anak saya yang juga orang kurang upaya (OKU) fizikal.
“Kami redah sahaja air, tetapi ketika itu PPS belum dibuka, jadi saya tunggu sahaja dan terpaksa buka puasa di luar.
“Pagi ini (semalam), apabila air semakin tinggi, jadi semua penduduk sudah diarahkan kosongkan rumah. Saya tunggu suami serta dua lagi anak saya pindah ke PPS,” katanya.