Persiapan raya musnah ditenggelami banjir
- Admin UKK
- Berita
Iskandar Puteri: Persiapan Aidilfitri sebuah keluarga di Kampung Skudai Kecil, di sini musnah apabila kediaman mereka tenggelam sepenuhnya, petang kelmarin.
Alfian Marjuni, 55, berkata rumahnya ditenggelami banjir hingga bumbung menyebabkan semua perabot, pakaian, peralatan elektrik termasuk persiapan Aidilfitri yang disediakan sejak awal Ramadan musnah.
Beliau berkata, banjir yang menenggelamkan rumahnya itu adalah kali kedua selepas 19 tahun lalu ketika banjir besar 2006.
Katanya, dalam kejadian terbaharu, dia sedang menyediakan juadah berbuka puasa sebelum menyedari air mula masuk menerusi pintu dapur.
“Saya baru mula memasak juadah berbuka jam 4.40 petang sebelum menyedari air mula memasuki kediaman. Saya terus beritahu suami sebelum kami segera menaikkan barangan elektrik, makanan, pakaian dan dokumen penting ke bahagian tinggi.
“Bagaimanapun air banjir terlalu deras kerana tak sampai setengah jam sudah hampir ke paras dada menyebabkan banyak barangan tak sempat diselamatkan. Kami akhirnya mengambil keputusan menyelamatkan diri.
“Sayu melihat kediaman kami ditenggelami air banjir sehingga hampir paras bumbung semalam (kelmarin). Hari ini (semalam) jiran maklumkan rumah kami sudah tenggelam sepenuhnya,”
katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) Skudai, di sini semalam.
Yang hadir sama, Setiausaha Eksekutif Yayasan Penyayang Iskandar Puteri, Datuk Abd Rashid Kasman.
Banjir terburuk
Sementara itu, suri rumah Erniza Erwan, 41, turut sebak apabila rumahnya ditenggelami banjir sepenuhnya.
Katanya, rumahnya ditenggelami banjir kali ketiga selepas banjir besar 2006 dan 2020, yang menyebabkan pelbagai barangan musnah.
“Ini kali kedua insiden banjir berlaku pada Ramadan kerana pada bencana 2020, rumah kami tenggelam masa bulan puasa juga. Saya dan suami baru merancang beli baju raya untuk empat orang anak minggu depan. Tapi sekarang kami perlu gunakan wang yang dikumpul untuk bersihkan rumah dan beli perabot serta peralatan elektrik yang rosak akibat banjir,” katanya.
Penduduk Kampung Pasir Tebrau, di sini, Hairul Azim Jasmin, 21, menyifatkan banjir kali ini yang terburuk dan menyebabkan semua persiapan untuk menyambut Aidilfitri, termasuk pakaian, langsir serta televisyen baharu tidak dapat diselamatkan.
Sementara itu, di Sabah, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri dalam kenyataan menyatakan empat PPS dibuka pada pagi semalam susulan banjir yang melanda Sandakan dan Beluran.
Di Sandakan, dua PPS dibuka di Masjid Nur Iman dan Masjid Nur Hidayah manakala di Beluran pula, PPS dibuka di Dewan Kampung Sungai Nangka dan Dewan Kampung Balaban.