OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Banjir di Johor makin buruk, lebih 10,000 mangsa di lima daerah

Banjir di Johor makin buruk, lebih 10,000 mangsa di lima daerah

JOHOR BAHRU: Keadaan banjir di Johor makin buruk dengan jumlah mangsa banjir meningkat melebihi 10,000 orang setakat jam 8 pagi tadi, berbanding 3,964 orang malam tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, pagi ini, mangsa banjir di lima daerah terjejas mencecah 10,763 orang daripada 3,018 keluarga yang kini ditempatkan di 98 pusat pemindahan sementara (PPS) di Johor Bahru, Kluang, Kulai, Kota Tinggi dan Pontian.

Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, Johor Bahru terus menjadi daerah paling teruk terjejas dengan jumlah mangsa banjir meningkat kepada 4,291 orang daripada 1,138 keluarga di 27 PPS.

"Kluang pula merekodkan jumlah 2,163 mangsa banjir membabitkan 635 keluarga ditempatkan di 27 PPS," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Azmi berkata, Kota Tinggi, Pontian dan Kulai juga mencatatkan jumlah mangsa banjir yang meningkat, dengan Kota Tinggi mencatatkan 1,761 mangsa (504 keluarga) di 17 PPS, Pontian pula meningkat kepada 1,395 mangsa (387 keluarga) di 19 PPS, manakala jumlah mangsa banjir di Kulai pula kini mencecah 1,152 orang (354 keluarga) di lapan PPS.

Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) masih tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir bagi negeri ini, namun mengeluarkan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di enam daerah di negeri ini.

Amaran hujan lebat berterusan itu membabitkan daerah Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi yang dijangka berlaku sehingga hari ini.

Amaran hujan berterusan tahap waspada pula dikeluarkan membabitkan daerah Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat, juga dijangka sehingga hari ini.

Pada masa sama, Sungai Batu Pahat, Sungai Endau, Sungai Johor, Sungai Pulai, Sungai Skudai dan Sungai Jemaluang merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya.

Semua daerah di negeri ini masih dilaporkan hujan setakat jam 8 pagi tadi.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search