Mangsa banjir di Johor berkurangan sedikit, 99 PPS diaktifkan
- Admin UKK
- Berita
JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor berkurangan sedikit setakat jam 12 tengah hari ini iaitu daripada 10,763 orang pagi tadi kepada 10,629 orang membabitkan 3,169 keluarga.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN), Tan Sri Dr Azmi Rohani, berkata mangsa banjir di lima daerah terjejas itu ditempatkan di 99 pusat pemindahan sementara (PPS) yang diaktifkan.
Beliau yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Johor berkata, Johor Bahru terus menjadi daerah paling teruk terjejas, namun bilangan mangsa banjir menunjukkan penurunan iaitu daripada 4,291 orang (1,138 keluarga) pada pagi tadi, kepada 3,664 orang (1,139 keluarga) tengah hari ini.
"PPS di Johor Bahru yang masih aktif kekal 27 buah sehingga tengah hari ini.
"Kluang kedua banyak terjejas dan jumlah mangsa banjir bertambah kepada 2,361 orang (702 keluarga) berbanding 2,163 orang (635 keluarga), pagi tadi. Mereka kini ditempatkan di 27 PPS di daerah itu," katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Azmi berkata, Kota Tinggi, Pontian dan Kulai terus mencatat peningkatan jumlah mangsa banjir yang mana Kota Tinggi merekodkan 1,779 mangsa (510 keluarga) di 17 PPS berbanding 1,761 mangsa (504 keluarga) pagi tadi.
Katanya, Pontian pula meningkat kepada 1,668 mangsa (462 keluarga) berbanding 1,395 mangsa (387 keluarga) dan masih di 20 PPS, manakala jumlah mangsa banjir di Kulai pula meningkat sedikit dengan 1,157 orang (356 keluarga), berbanding 1,152 orang (354 keluarga) di lapan PPS.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) masih dengan amaran hujan lebat berterusan tahap buruk di enam daerah di negeri ini.
Ia membabitkan daerah Johor Bahru, Kluang, Mersing, Pontian, Kulai dan Kota Tinggi yang dijangka sehingga hari ini.
Amaran hujan berterusan tahap waspada dikeluarkan membabitkan daerah Tangkak, Segamat, Muar dan Batu Pahat, juga dijangka sehingga hari ini.
Pada masa sama, Sungai Batu Pahat, Sungai Endau, Sungai Johor, Sungai Pulai dan Sungai Skudai merekodkan bacaan air sungai melepasi paras bahaya.
Setakat jam 12 tengah hari, hanya Johor Bahru, Muar, Kluang dan Kota Tinggi dilaporkan cerah, manakala enam daerah yang lain dilaporkan mendung.