Gempa bumi: Penduduk Klang tidak rasai gegaran
- Admin UKK
- Berita
KLANG - Penduduk di sekitar Klang tidak merasai sebarang gegaran susulan kejadian gempa bumi bermagnitud 5.6 pada skala Richter yang berlaku di Mandailing Natal, Sumatera Utara, Indonesia, pagi tadi.
Gempa bumi yang berlaku pada jam 6:23 pagi waktu tempatan itu disahkan oleh Badan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisika (BMKG) menerusi satu hantaran di platform X.
Pihak BMKG turut melaporkan bahawa pusat gempa berkenaan berada pada kedalaman 109 kilometer.
Walaupun gempa bumi itu berlaku di kawasan yang berdekatan dengan Semenanjung Malaysia, tiada laporan menyatakan bahawa gegaran turut dirasai di Lembah Klang atau kawasan sekitarnya.
Tiada juga laporan mengenai sebarang kerosakan atau kecederaan akibat kejadian tersebut.
Penduduk di beberapa kawasan di Klang turut mengesahkan bahawa mereka tidak mengalami sebarang kesan daripada peristiwa itu.
"Alhamdulillah, di sini kita tidak merasai apa-apa gegaran kesan daripada peristiwa tersebut, termasuk berdasarkan maklumat dalam kumpulan WhatsApp penduduk," ujar Zakaria Ghani yang menetap di Taman Isabella, Klang.
Seorang lagi penduduk, Muhd Faizul Azwan Mohd Fauzi, juga mengesahkan perkara itu.
"Saya juga tidak merasai sebarang gegaran yang boleh dikaitkan dengan peristiwa gempa bumi yang berlaku di Indonesia itu," katanya.
Penduduk di Taman Setia Alam, Nurazni Mohd Noor, turut memaklumkan perkara sama apabila tiada sebarang maklumat mengenai gegaran dibincangkan dalam kalangan penduduk di kawasan perumahannya.
Sementara itu, BMKG mengesahkan bahawa gempa bumi berkenaan tidak berpotensi mencetuskan tsunami, sekali gus mengurangkan kebimbangan terhadap risiko bencana susulan di kawasan terjejas.
Pihak berkuasa Malaysia juga setakat ini tidak mengeluarkan sebarang amaran berhubung kejadian tersebut.
Orang ramai dinasihatkan untuk kekal tenang dan mendapatkan maklumat sahih daripada sumber rasmi sekiranya terdapat perkembangan lanjut mengenai situasi ini.