MLNG serah sumbangan bantuan bencana di Bintulu
- Admin UKK
- Berita
BINTULU, 13 Mac: Kumpulan Syarikat Malaysia LNG (MLNG), anak syarikat PETRONAS, hari ini menyerahkan sumbangan bernilai RM17,000 kepada Pejabat Daerah Sebauh sebagai sebahagian daripada Program Memacu Kehidupan Bantuan Bencana.
Sumbangan berupa mesin pencuci air tekanan tinggi dan kekili hos – bertujuan menyokong usaha pemulihan pasca banjir di kawasan Sebauh.
Simbolik penyerahan sumbangan dilakukan oleh Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia LNG Sdn Bhd, Mohamed Syazwan Abdullah @ Laga Jenggi kepada Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian Bintulu merangkap Residen Bahagian Bintulu, Datuk Nyurak Keti, dengan disaksikan ADUN Tanjong Batu, Johnny Pang Leong Ming.
Pang menyifatkan sumbangan ini bukan sahaja membantu kerja-kerja pembersihan dan pemulihan pasca banjir tetapi juga menunjukkan komitmen sektor korporat dalam menyokong pihak berkuasa tempatan menghadapi bencana alam.
Dalam program yang sama, sebagai sebahagian daripada program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sempena bulan Ramadan, MLNG turut mengedarkan 500 bungkus bubur pedas kepada pengguna jalan raya dan agensi tempatan di hadapan Pejabat Residen Bahagian Bintulu.
Program dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Residen Bintulu merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat MLNG dalam menyantuni masyarakat setempat serta memupuk semangat kebersamaan dalam kalangan komuniti. -TVS