OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

Sarawak mula dilanda banjir, situasi di Sabah semakin buruk

Sarawak mula dilanda banjir, situasi di Sabah semakin buruk

KUALA LUMPUR: Sarawak negeri terbaharu dilanda banjir melibatkan daerah Lawas manakala situasi bencana itu di Sabah semakin buruk dengan jumlah mangsa yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS), semakin meningkat setakat malam tadi.

Di SARAWAK, 35 penduduk dari empat kampung di Trusan, Lawas dipindahkan ke PPS yang dibuka di Dewan Trusan semalam.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak dalam kenyataan memaklumkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Lawas digerakkan ke lokasi pada 10 pagi setelah menerima panggilan paras air Sungai Trusan mencatatkan 0.91 meter.

Mangsa terlibat adalah dari Kampung Ranau (10 orang), Kampung Lubuk Abai (enam), Kampung Seberang Kedai Trusan (14) dan Kampung Murud Suang Trusan (lima).

Operasi pemindahan yang dibantu pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM), Jabatan Sukarelawan, Kementerian Kesihatan Malaysia, Pejabat Daerah Trusan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat tamat pada 4.55 petang.

 

Di SABAH, jumlah mangsa banjir meningkat kepada 1,010 orang daripada 325 keluarga setakat 8 malam tadi berbanding 522 orang daripada 154 keluarga, 4 petang semalam.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 20 kampung terjejas iaitu masing-masing 10 di Beaufort dan Membakut dengan trend pemindahan mangsa meningkat.

Menurut kenyataan, 780 orang daripada 249 keluarga dipindahkan di dua PPS di Beaufort iaitu PPS Dewan Selagon dan PPS Dewan Dun Banir manakala 230 orang daripada 76 keluarga berlindung di satu PPS di Membakut yang dibuka semalam iaitu Dewan Kesenian Islam Membakut.

Di MELAKA, situasi banjir pulih sepenuhnya selepas PPS Sekolah Kebangsaan Parit Penghulu, Sungai Rambai, Jasin ditutup pada 5.45 petang tadi.

Pengarah APM negeri Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata empat orang daripada satu keluarga terakhir yang berlindung di PPS itu telah dibenarkan pulang ke rumah mereka di Jalan Simen, Batu Gajah petang semalam. – BERNAMA

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search