Bantuan Wang Ihsan mangsa bencana disalur melalui BSN
- Admin UKK
- Berita
Kota Kinabalu: Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) akan bekerjasama dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) untuk menyalurkan Bantuan Wang Ihsan (BWI) kepada mangsa bencana, termasuk banjir, di seluruh negara.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaedah itu bagi memudahkan pembayaran bantuan, terutama kepada mangsa banjir yang tidak dapat berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS).
"Ia tidak lagi melalui sistem konvensional iaitu melalui Pejabat Daerah, Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) atau Jawatankuasa Kemajuan Kampung Persekutuan (JKKP).
"Selepas mengadakan rundingan, senarai mangsa banjir yang dipindahkan itu akan mendapat Bantuan Wang Ihsan melalui BSN," katanya pada sidang media selepas lawatan ke projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Persekitaran Kawasan Lido, di sini, hari ini.
Menerusi kaedah itu, Ahmad Zahid berkata, mangsa bencana yang sudah disenaraikan boleh ke cawangan BSN berhampiran untuk menuntut BWI masing-masing.
"Dalam perkara ini, kita melakukan beberapa urusan tatakelola untuk pengesahan bahawa mereka benar-benar mangsa banjir yang terjejas ketika Monsun Timur Laut (MTL).
"Kita akan dapatkan pengesahan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah mengenai perkara ini dan kita akan lakukan pengubahsuaian terhadap pelaksanaannya," katanya.