'Kemarau tak serius tahun ini, ribut petir, hujan lebat sebelah petang sepanjang Ramadan' - MetMalaysia
- Admin UKK
- Berita
KUALA LUMPUR: Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan, fenomena cuaca panas dan kering yang melanda negara tahun ini tidak seteruk tahun lalu.
Berhubung kejadian jerebu dan titik panas pula, beliau berkata, biasanya ia berlaku di antara Julai hingga September iaitu ketika kemuncak Monsun Barat Daya (MBD).
"Masih terlalu awal untuk meramal potensinya (kejadian jerebu dan titik panas) dan ia bergantung kepada kekuatan MBD yang akan berlaku nanti serta keadaan cuaca di negara jiran," katanya kepada BH hari ini.
Diminta mengulas situasi di negara jiran seperti laporan pencemaran udara akibat kebakaran hutan yang mungkin akan mendorong situasi jerebu rentas sempadan yang sederhana atau kronik, Mohd Hisham berkata, sekiranya berlaku kebakaran secara meluas di negara jiran ketika MBD, asap berkenaan akan bergerak memasuki rantau negara dan seterusnya boleh menyebabkan cuaca berjerebu.
"Di samping itu, kebakaran setempat juga akan menyebabkan keadaan jerebu bertambah buruk," katanya.
Kebakaran hutan di Thailand dan Kemboja sejak beberapa minggu kebelakangan ini menimbulkan kebimbangan terhadap pencemaran udara yang boleh memburukkan keadaan apabila musim panas melanda rantau itu dalam beberapa bulan akan datang.
Ketika ditanya mengenai jangkaan peralihan cuaca selepas berakhirnya Monsun Timur Laut (MTL) bulan depan, Mohd Hisham berkata, fasa peralihan itu dijangka bermula pada pertengahan Mac ini.
Bagi ramalan cuaca sepanjang Ramadan pula, katanya cuaca di seluruh negara dijangka baik pada sebelah pagi, manakala ribut petir berserta hujan lebat dan angin kencang dijangka berlaku pada sebelah petang dan awal malam terutamanya di kawasan barat dan pedalaman Semenanjung, selatan, barat dan tengah Sarawak serta barat Sabah.
"Kawasan utara Semenanjung termasuk Perak, Pahang dan Kelantan dijangka mengalami cuaca yang sedikit lebih panas dan kering berbanding tempat lain," katanya.