OCI TerraSus salur sumbangan RM100,000 kepada PPPM Cawangan Sarawak
- Admin UKK
- Berita
KUCHING, 14 Feb: Syarikat OCI TerraSus (OCI M) Sdn Bhd menyalurkan sumbangan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Pandu Puteri Cawangan Sarawak bagi membantu mangsa yang terjejas akibat banjir di Bintulu.
Sumbangan tersebut diserahkan kepada Isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Datuk Patinggi Fauziah Mohd Sanusi yang mewakili Persatuan Pandu Puteri Malaysia Cawangan Sarawak di Astana Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Yang di-Pertua Persatuan, Dato Dayang Morliah Datuk Awang Daud berkata, sumbangan tersebut bagi membantu mangsa banjir di Bintulu khususnya anak-anak Pandu Puteri dan pelajar ahli persatuan itu.
“Bersama kita pada hari ini, Pengarah Kanan Ketua Bahagian Kelestarian OCI TerraSus (OCI M) Sdn Bhd, Dr. Kim Soo Yeon yang turut memberi sumbangan sebanyak RM 100,000 kepada Pandu Puteri.
“Sumbangan ini akan disalurkan kepada mangsa banjir di Bintulu khasnya kepada anak-anak Pandu Puteri dan pelajar ahli Pandu Puteri. Sumbangan ini akan kita salurkan nanti pada 26 Februari nanti,” katanya selepas mengadakan kunjungan hormat berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Kanan Ketua Bahagian Kelestarian OCI TerraSus (OCI M) Sdn Bhd, Dr. Kim Soo Yeon berkata, syarikatnya sentiasa berusaha memberi impak bermakna kepada masyarakat melalui pendidikan dan sokongan kepada golongan muda, terutamanya kanak-kanak perempuan.
“OCI Terassus sentiasa mengambil berat tentang masa depan yang lestari, baik dalam perniagaan mahupun masa depan kita dengan tenaga bersih dan sains kehidupan. Oleh itu, kami percaya bahawa memberi impak bermakna kepada masyarakat adalah sesuatu yang amat penting bagi kami.
“Kami juga percaya bahawa pendidikan untuk golongan muda, terutamanya kanak-kanak perempuan, merupakan satu bentuk sumbangan yang signifikan. Dengan kerjasama Persatuan Pandu Puteri, inisiatif ini dapat membawa kesan positif kepada masyarakat,” ujarnya.
Turut hadir Ketua Pesuruhjaya Cawangan, Ruth Sibat @ Nur Mithali Abdullah, Pesuruhjaya Pandu Puteri Renjer Cawangan Rosnani Abdul Latif, Setiausaha Kehormat Rukayah Dawi, Setiausaha Eksekutif Janet Lim, Pengurus Bahagian Kelestarian, Jang Soo Ah dan Pegawai Bahagian Kelestarian Nurquraishia Shafiqa.- TVS