OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

MoU pengurusan bencana, Turkiye pandang tinggi kepakaran negara

MoU pengurusan bencana, Turkiye pandang tinggi kepakaran negara

PUTRAJAYA - Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani antara Malaysia dan Turkiye dalam bidang pengurusan bencana dan kecemasan memberi indikasi bahawa kepakaran pengurusan bencana negara dipandang tinggi oleh republik itu.

Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma), Datuk Khairul Shahril Idrus berkata, MoU tersebut dijayakan hasil perbincangan susulan kehadiran Pasukan MyTeam Relief membantu kerajaan Turkiye semasa bencana gempa bumi di Gaziantep pada 6 Februari 2023.

 

"Bertitik tolak daripada misi bantuan kemanusiaan dan bencana tersebut, Nadma telah mengadakan perbincangan mengenai potensi kerjasama yang boleh dijalinkan dalam bidang pengurusan bencana dengan Agensi Pengurusan Bencana dan Kecemasan (AFAD), Kementerian Dalam Negeri Turkiye,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Khairul Shahril berkata, MoU tersebut kemudian dimeterai susulan perbincangan berhubung kemajuan hubungan Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) semasa lawatan rasmi dua hari Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan ke Malaysia yang berakhir Selasa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, antara bidang kerjasama yang dipersetujui melalui MoU itu ialah penganjuran program latihan berkaitan bidang pengurusan bencana dan kecemasan serta bantuan bersama dalam kejadian bencana dan kecemasan.

Selain itu, ia turut merangkumi pertukaran pengetahuan dan pengalaman dalam bidang pengurusan bencana dan kecemasan serta bantuan lain yang berkaitan dengan pengurusan bencana yang dipersetujui secara bersama.

"Melalui MoU ini, diharapkan kerjasama, komitmen dan kebersamaan kedua-dua negara dalam membentuk dan memperkukuhkan pengurusan bencana dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.

MoU tersebut adalah antara 11 MoU yang ditukar antara Malaysia dan Turkiye bagi memperkukuhkan kerjasama dalam pelbagai sektor bersempena lawatan rasmi Erdogan.

Pertukaran kesemua dokumen itu disaksikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Erdogan, meliputi bidang utama seperti peralihan tenaga, pengurusan bencana, pertahanan, perdagangan dan kolaborasi media. - Bernama

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search