OFFICIAL PORTAL
PRIME MINISTER'S DEPARTMENT
NATIONAL DISASTER MANAGEMENT AGENCY

News

76 keluarga mangsa ribut di Parlimen Sekijang terima BWI RM1,000

76 keluarga mangsa ribut di Parlimen Sekijang terima BWI RM1,000

SEGAMAT: Sebanyak 76 keluarga di kawasan Parlimen Sekijang yang terjejas akibat ribut pada November lalu, menerima Bantuan Wang Ihsan (BWI) membabitkan peruntukan berjumlah RM76,000, hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata setiap keluarga terbabit memperoleh bantuan RM1,000 sebagai sokongan kewangan untuk meringankan beban mereka.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sekijang berkata, Kerajaan MADANI bukan saja komited mempercepatkan bantuan kepada mangsa bencana, malah turut memperkukuh sistem amaran awal, usaha mitigasi serta kesiapsiagaan dalam menghadapi fenomena cuaca ekstrem yang semakin kerap berlaku.

"Saya turun padang sejurus kejadian ribut itu bagi menilai sendiri keadaan mangsa serta mendengar keluhan mereka.

 

"Saya juga segera berbincang dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang merangkap Menteri bertanggungjawab kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), bagi memastikan bantuan ini dapat disalurkan secepat mungkin," katanya pada majlis penyerahan BWI berkenaan di Dewan Komuniti, Pejabat Daerah Segamat.

Dr Zaliha turut memaklumkan bahawa garis panduan BWI oleh NADMA telah dikemas kini bagi meluaskan skop penerima bantuan, hasil perbincangan bersama Ahmad Zahid pada November lalu.

"Sebelum ini, bantuan berkenaan hanya diberi kepada mangsa banjir tetapi kini turut merangkumi mangsa bencana ribut dan banjir kilat.

"Ini adalah langkah proaktif kerajaan dalam usaha memastikan bantuan sampai kepada lebih ramai rakyat yang memerlukan.

"Kita juga berharap inisiatif ini dapat mengurangkan beban penerima serta memberikan keyakinan kepada rakyat bahawa kerajaan sentiasa prihatin terhadap kebajikan mereka," katanya.

Dalam pada itu, beliau meminta masyarakat lebih berwaspada dan peka terhadap amaran cuaca memandangkan kejadian ribut dan bencana alam semakin kerap berlaku akibat perubahan iklim.

"Pada masa sama, Kerajaan MADANI akan terus memperkukuhkan sistem pengurusan bencana bagi memastikan setiap mangsa mendapat bantuan dengan pantas dan adil," katanya.

 

Disclaimer
The Government of Malaysia and the National Disaster Management Agency (NADMA) shall not be liable for any loss or damage caused by the usage of any information obtained from this website.
Hubungi Kami
Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA),
Jabatan Perdana Menteri,
Aras B1, 6 dan 7, Setia Perkasa 5,
Kompleks Setia Perkasa,
Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan,
62502 WP Putrajaya

T: +603 8870 4800
F: +603 8870 4848
E: admin@nadma.gov.my
G: 2.937323, 101.704762
Statistik Pengunjung

Search