Bantuan Wang Ihsan bencana naik RM1,000
- Admin UKK
- Berita
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, perkara itu dicapai menerusi Mesyuarat JPBP dipengerusikan beliau pada 13 September lalu sebagai membuktikan keprihatinan kerajaan terhadap mangsa bencana ditambah pula dengan impak ekonomi rakyat akibat pandemik Covid-19.
Menurut beliau, inisiatif BWI ini dijangka meringankan beban lebih 39,100 ketua isi rumah melibatkan peruntukan lebih RM39.5 juta daripada Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara.
“Pemberian bantuan ini bukanlah satu bentuk pampasan atau ganti rugi terhadap kerosakan rumah dan harta benda dialami mangsa, tetapi mengurangkan beban ditanggung.
“Ini antara pendekatan baharu kerajaan dalam usaha menambah baik pengurusan dan kesiapsiagaan menghadapi Monsun Timur Laut yang dijangka berlaku pada awal November ini sehingga penghujung Mac 2022 melibatkan negeri-negeri seperti Pantai Timur, Johor, Sabah, dan Sarawak,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu, dalam lawatan kerja rasmi Perdana Menteri ke Sabah hari ini, Ismail Sabri turut mengumumkan Peruntukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) kepada negeri itu berjumlah RM 18,241,250 bertujuan melancarkan proses menguruskan tindak balas bencana agar kebajikan rakyat terjejas sentiasa dipelihara.
Beliau menjelaskan, peruntukan itu bagi perolehan 2,000 unit Kit Makanan (RM160,000), Pembelian 2,500 unit C-Tent (RM 961,250), Operasi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri(RM 20,000), Operasi 22 daerah Jawatankuasa Pengurusan Bencana (RM1,100,000) dan Pengurusan operasi Covid-19 di negeri Sabah (RM16,000,000).
“Saya berharap sebahagian daripada peruntukan ini dapat digunakan untuk pengurusan bencana dan meringankan beban mangsa-mangsa kejadian tanah runtuh di Penampang, Sabah, semalam.
“Saya turut bersimpati kepada keluarga mangsa yang terkorban,” katanya.
Ismail Sabri pada masa sama memberitahu, atas dasar prihatin dan tanggungjawab kepada kerajaan negeri yang menghadapi kesukaran menguruskan bencana Monsun Timur Laut sepanjang tahun, peruntukan Perbelanjaan Operasi Dalam MTL 2021/2022 juga akan disalur menggunakan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara berjumlah RM9.5 juta bagi membantu kelancaran proses dan memastikan kebajikan rakyat terus dipelihara.
Selain itu, beliau berkata, pendekatan baharu lain yang turut diputuskan dalam mesyuarat berkenaan ialah pembangunan Sistem e-Sumbangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) sebagai platform penyelarasan bantuan antara penderma dan NGO kepada mangsa bencana.
Katanya, bantuan perlu melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat/negeri/daerah supaya penyelarasan bantuan dapat dilakukan lebih lancar dan sistematik.
“Badan sukarela yang ingin melakukan pergerakan menghantar bantuan, perlu mendapat kebenaran daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat/negeri/daerah terlebih dahulu memandangkan jawatankuasa peringkat tempatan lebih arif dengan kehendak dan keperluan mangsa di kawasan terjejas,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri, menasihatkan agar semua pihak terlibat supaya konsisten dalam merancang dan melaksanakan penambahbaikan pengurusan bencana melalui program dan projek yang bermanfaat di negeri masing masing.
Kata beliau, semua agensi terlibat juga perlu menggunakan dan berkongsi segala aset yang sedia ada di negeri masing-masing dengan melibatkan badan-badan korporat, pertubuhan bukan kerajaan serta individu-individu di peringkat tempatan, agar sama-sama dapat menggalas tanggungjawab sesuai dengan semangat Keluarga Malaysia.
“Bersesuaian dengan semangat Keluarga Malaysia juga, orang ramai turut dinasihatkan supaya sentiasa peka dan prihatin dengan persekitaran termasuk terhadap jiran dan rakan selain ahli keluarga sendiri ketika musim tengkujuh nanti, untuk mengelak sebarang kejadian tidak diingini,” katanya.