Thailand lakukan semburan ais ke udara tangani pencemaran udara
- Admin UKK
- Berita
HUA HIN: Thailand memperkenalkan kaedah baharu bagi menangani pencemaran udara melampau menggunakan semburan kabus ais merentasi ruang udara Bangkok semalam.
Percubaan terdesak yang belum dibuktikan itu dibuat menggunakan pesawat kecil dengan jumlah kekerapan mencapai lapan kali ganda berbanding purata maksimum harian disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Thailand berdepan jerebu paling teruk ketika musim kering antara Disember dan April, apabila keadaan terlalu berangin dan tiada awan untuk mendorong pembentukan hujan.
Kerajaan berusaha menangani keadaan itu menggunakan kaedah eksperimen tempatan untuk mengalihkan pencemaran udara menerusi teknik dikenali sebagai pembalikan suhu.
Teknik baharu itu pertama kali digunakan tahun lalu dan ia kini masih pada peringkat kajian.
Jabatan Pembuatan Hujan Diraja menghantar pesawat untuk menyemburkan air sejuk atau ais kering ke lapisan udara panas bagi menyejukkannya, dua kali sehari.
Dua kru melepaskan semburan itu berpandukan laluan penerbangan dipantau saintis yang menyelia menggunakan iPad ketika pesawat terbang pada ketinggian 500 meter.
Kakitangan jabatan itu memuatkan satu tan ais kering atau ais dan air ke dalam pesawat dengan peralatan penyemburan yang diubah suai, sebelum berlepas.
Sebuah pesawat lain mengukur kepekatan pencemaran sebelum dan selepas penyemburan untuk menilai perbezaan kualiti udara.
Kaedah itu dibuat berpandukan teori mengurangkan perbezaan suhu antara lapisan udara yang akan memudahkan zarah terperangkap, dikenali sebagai PM2.5, mencegahnya tersebar ke atmosfera atas.
Mengulas perkara itu, ketua program jabatan berkenaan, Chanti Detyothin, berkata ia adalah kaedah bukan konvensional dan hanya digunakan di Thailand.
"Ini bukan seperti kaedah pembenihan awan yang biasa. Kepekatan (PM2.5) berkurangan. Data di kawasan tumpuan menunjukkan debu telah hilang, namun kita akui tidak dapat mengatasi pencemaran sepenuhnya.
"Teknologi baharu ini ada batasnya. Kami bekerja setiap hari supaya Bangkok memiliki udara bersih dan sedang melakukan yang terbaik," katanya.
Kementerian Kesihatan awal bulan ini, memaklumkan bencana itu menyebabkan lebih sejuta orang sakit sejak akhir 2023, membabitkan kos rawatan bernilai AS$88 juta (RM389.4 juta).
Gabenor Bangkok, Chadchart Sittipunt, berkata keadaan itu berpunca daripada asap kenderaan, pembakaran tanaman secara terbuka dan keadaan cuaca 'tertutup', iaitu lapisan atmosfera menutupi debu, menghalangnya daripada tersebar. - AFP