Remaja melecur dalam kebakaran 4 rumah teres
- Admin UKK
- Berita
KUALA SELANGOR - Seorang remaja berusia 16 tahun melecur tahap dua dalam kebakaran membabitkan empat rumah dua tingkat di Taman Seri Tiram Tanjong Karang di sini pada Rabu.
Penolong Pengarah Operasi Bomba Selangor, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 11.36 pagi.
Menurut beliau, mangsa yang mengalami cedera kemudiannya dibawa ambulans untuk menerima rawatan lanjut.
"Seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Karang, Kuala Selangor dan Bestari Jaya dikejarkan ke tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ahmad Mukhlis berkata, kebakaran empat rumah teres itu membabitkan bangunan kelas A berkeluasan 20x60 kaki persegi setiap satu unit rumah.
"Dua rumah terbakar 50 peratus dan dua lagi mengalami kebakaran 30 peratus," ujar beliau.
Beliau memberitahu, sehingga kini pihaknya sedang giat melakukan kerja-kerja pemadaman di lokasi kejadian.
"Punca sebenar dan nilai kerugian masih dalam siasatan lanjut," ujar beliau.